Isnin, 14 Disember 2015 | 3:22pm

Jumlah pelancong ke Johor terus meningkat

PENGERUSI Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong (kiri) bersama Pengasas dan Pengarah Urusan, Austin Heights Sdn Bhd, Datuk Ir Steve Chong Yoon On melakukan lawatan tapak di Austin Height Warter Park ,Taman Mount Austin Johor Bahru. - Foto Dazar Suarman
PENGERUSI Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong (kiri) bersama Pengasas dan Pengarah Urusan, Austin Heights Sdn Bhd, Datuk Ir Steve Chong Yoon On melakukan lawatan tapak di Austin Height Warter Park ,Taman Mount Austin Johor Bahru. - Foto Dazar Suarman

JOHOR BAHRU: Johor mencatatkan peningkatan kedatangan pelancong tertinggi apabila seramai 2.2 juta pelancong domestik dan 1.1 juta pelancong antarabangsa melawat negeri itu dari Januari hingga Jun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan, Datuk Tee Siew Kiong, berkata kedatangan pelancong domestik meningkat sebanyak 15 peratus berbanding 1.87 juta pelancong dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Katanya, kedatangan pelancong antarabangsa juga meningkat 7.7 peratus berbanding 1 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun lalu.

"Data ini menunjukkan sektor pelancongan Johor terus berkembang sedangkan perangkaan ketibaan pelancong ke Malaysia dan kebanyakan negeri lain menghadapi penurunan," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Austin Heights Fun Village Park, di sini.

Siew Kiong berkata, kewujudan produk pelancongan baru yang berimpak tinggi seperti Legoland Malaysia, Puteri Harbour Indoor Theme Park (Hello Kitty) dan Taman Aktiviti Angry Bird dilihat secara tidak langsung banyak menyumbang kepada peningkatan kemasukan pelancong ke Johor.

Katanya, jumlah pelancong bermalam di negeri ini juga meningkat hampir 13 peratus iaitu 3.3 juta orang dalam tempoh Jan hingga Jun lalu berbanding 2.8 juta pelancong dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Pada masa sama beliau berharap lebih banyak pakej menarik dirangka dalam usaha menarik lebih ramai pelancong tempatan dan antarabangsa ke Johor.

"Pihak pengusaha industri pelancongan perlu sentiasa menjalankan transformasi daripada semasa ke semasa bagi memastikannya dapat memenuhi pasaran kini serta masa depan. Kita sememangnya berhasrat untuk menarik pelancong antarabangsa dan domestik," katanya.

Sementara itu Siew Kiong berkata, kewujudan Austin Heights Fun Village di tapak seluas lapan hektar yang akan dibuka mulai 19 Disember ini dapat menyokong usaha kerajaan negeri untuk memperkenalkan daerah ini sebagai destinasi pelancongan keluarga.

Katanya, taman tema terbaru di Johor itu disasarkan dapat menarik 300,000 pelancong setahun dan dibahagikan kepada lima kawasan iaitu taman tema air, pengembaraan, sukan dan rekreasi, pembelajaran serta resort golf dan hotel.

Berita Harian X