Ahad, 13 Disember 2015 | 10:04am

Kewujudan Hang Tuah terus raih pertikaian

KARYAWAN Tamu Jabatan Sejarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM, Dr Ahmat Adam. - Foto Rohanis Shukri
KARYAWAN Tamu Jabatan Sejarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM, Dr Ahmat Adam. - Foto Rohanis Shukri

KUALA LUMPUR : Dakwaan ditimbulkan seorang sejarawan Jumaat lalu yang menafikan kewujudan Hang Tuah berdasarkan filologi, kajian aspek asal usul perkataan dalam sumber sejarah yang ditulis, terus mendapat pertikaian pelbagai pihak.

Sejarawan dan Felo Penyelidik Kanan Jabatan Sejarah Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali mempertikaikan kenyataan dibuat Karyawan Tamu Jabatan Sejarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM, Dr Ahmat Adam dengan mengatakan dalam Hikayat Hang Tuah, perkataan Hang Tuah sudah pun digunakan sebelum abad ke -18.

Ini termasuk dakwaan dibuat Ahmat mengenai ejaan jawi yang dikatakan sebagai berbunyi 'toh' atau tuha itu sebenarnya berbunyi tuah.

Tidak bermaksud untuk mempertikaikan apa yang dibentangkan Ahmad, tetapi tegas Abdullah bukti tentang Hang Tuah sudah pun direkodkan sejak dulu.

"Sampai bila pun huruf jawi ta wau ha itu akan dibunyikan toh atau tuha mengikut beliau tetapi ada pihak tertentu seperti saya akan terus membacanya sebagai tuah. Fisiologi ada kelemahannya sendiri," katanya.

Abdullah yang berdebat secara terbuka dengan Ahmat dalam seminar anjuran Jabatan Sejarah UM itu berkata, Hang Tuah sering diperkatakan dalam sejarah nusantara dan walaupun kita tidak mengetahui secara tepat namun ada fakta yang boleh digunakan sebagai rujukan termasuk beberapa hikayat mengenai pahlawan Melayu itu.

Sementara itu, Sasterawan Negara, Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh berkata, kajian mengenai kewujudan Hang Tuah tidak boleh dilakukan dengan melihat fakta dan bahan-bahannya, melalui metadologi yang digunakan di Barat.

Katanya, Barat menentukan sejarahnya melalui bahan bangsanya yang banyak terdapat dalam bentuk bahan bertulis, berbeza dengan kita yang datang daripada bangsa yang sangat lisan.

"Tradisi kita bukanlah tradisi tulisan, jadi kewujudan Hang Tuah itu hanya dapat diketahui melalui cerita daripada orang yang lebih tua (sebelum ditulis).

"Jika kita mengikut metadologi Barat dalam sejarah maka kita tidak punya apa-apa. Banyak budaya di dunia bersifat sangat lisan tetapi tidak bermakna rendah mutunya dan tidak boleh dipakai," katanya kepada BH, di sini.

Muhammad berkata, terdapat dua sumber besar yang boleh digunakan bagi mengetahui mengenai kewujudan Hang Tuah, iaitu kitab Sulalatus Salatin serta Hikayat Hang Tuah. Beliau berkata, di antara keduanya, Sulalatus Salatin tulisan Tun Sri Lanang adalah sumber lebih kuat dalam mengetahui mengenai kewujudan Hang Tuah kerana beliau diceritakan sebagai manusia yang seimbang, iaitu berketrampilan dan intelektual tetapi pada masa sama tidak lari daripada membuat kesilapan.

"Hang Tuah dalam Sulalatus Salatin disebutkan sebagai turut melakukan kesilapan apabila mengata bendahara dibelakangnya tetapi kemudian memohon maaf.

"Ini berbeza sekali dengan naskhah Hikayat Hang Tuah yang ditulis berdasarkan watak sebenar tetapi 'ditiup' menjadi sehingga 200 kali lebih besar daripada watak asalnya," katanya.

Bagaimanapun menurut Muhammad, Hikayat Hang Tuah yang turut diterjemahkan beliau ke bahasa Inggeris, The Epic of Hang Tuah, adalah satu karya besar dan watak Hang Tuah diperbesarkan bukan dengan sengaja sebaliknya diisi dengan falsafah dan nilai, seperti turut dilakukan Jepun terhadap watak pahlawan legendanya, Samurai.

"Proses menterjemah ke bahasa Inggeris itu mengambil masa sehingga 15 tahun sekaligus membolehkan saya memasuki jiwa pengarang asalnya yang menulis cereka berdasarkan watak asal.

"Paling penting ialah kita perlu faham, jika Hang Tuah tidak wujud sebaliknya sekadar satu watak dongeng, dia tidak akan disebut berkali-kali dalam Sulalatus Salatin atau Hikayat Hang Tuah, sepertimana Badang dan Benderang yang disebut dalam satu bab dan kemudiannya terus hilang," katanya.

Berita Harian X