Jumaat, 11 Disember 2015 | 12:18pm
PENGERUSI Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Duyong (PESAWAD), Khalid Hussin menunjukkan lakaran wajah Hang Tuah ketika ditemui di rumahnya di Kampung Duyong, Melaka. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
PENGERUSI Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Duyong (PESAWAD), Khalid Hussin menunjukkan lakaran wajah Hang Tuah ketika ditemui di rumahnya di Kampung Duyong, Melaka. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

Hang Tuah tidak wujud?

KUALA LUMPUR: Hang Tuah tidak wujud sekali gus dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa mereka berasal dari keturunan Hang Tuah adalah dongeng.

Karyawan Tamu Jabatan Sejarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya Prof Emeritus Dr Ahmat Adam berkata, Hang Tuah adalah watak fiksyen yang wujud dalam teks klasik Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah sahaja justeru dakwaan penemuan kubur Hang Tuah dan artifak berkaitan kewujudannya yang dibuat oleh sekumpulan sarjana dari Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini memerlukan penyelidikan yang lebih mendalam.

Sementara kubur di Melaka yang dikatakan milik Hang Tuah sesuai untuk tujuan pelancongan tetapi ia bukanlah kubur Hang Tuah yang sebenar.

Ahmat berkata demikian dalam Seminar Sejarah anjuran Jabatan Sejarah UM yang bertajuk Wujudkah Hang Tuah?

Malah tegas Ahmat, perkataan Hang Tuah itu sebenarnya tidak wujud pada abad ke-15 dan ke-16 sebaliknya ia dikesan buat pertama kalinya dalam Hikayat Acheh yang ditulis pada hujung abad ke-17.

'Mereka yang bergelar sejarawan harus ingat, Sejarah Melayu itu adalah fiksyen yang boleh disebut sebagai teks sastera sejarah tetapi bukan sebagai teks sejarah.

"Watak Hang Tuah juga sudah disebut dalam Hikayat Hang Tuah yang ditulis terlebih dahulu berbanding Sejarah Melayu, jadi ia watak yang diceduk masuk ke dalam naskhah itu," katanya.

Tegas Ahmat, pengarang Melayu zaman dahulu tidak akan menggunakan nama sebenar untuk watak pembesar mereka kecuali raja. Apa yang wujud adalah perkataan laksamana yang bermaksud pengikut raja yang setia dan ia tidak merujuk secara khusus kepada Hang Tuah.

"Perkataan laksamana merujuk kepada gelaran yang digunakan untuk pengikut raja yang setia sementara Hang Tuah sebenarnya Tuha yang bermaksud tua atau ketua pemimpin. Ia disebut sebagai Tuah kerana kegagalan penyelidik untuk membaca tulisan jawi dengan betul.

"Hang pula adalah perkataan Melayu purba yang bermaksud tukang yang mahir. Laksamana Hang Tuah itu gelaran dan bukan merujuk kepada seseorang yang kita kenal hari ini sebagai Hang Tuah," katanya yang mengkaji mengenai kewujudan Hang Tuah dari sudut fisiologi asal usul perkataan.

Tegas Ahmat keghairahan sesetengah penyelidik untuk membuktikan kewujudan Hang Tuah perlu berasaskan lebih banyak penyelidikan dan tidak hanya bergantung kepada satu sumber sahaja selain memastikan kesahihan dokumen itu.

Ahmat berkata, sejarah seharusnya berdasarkan kebenaran yang objektif dan tidak memihak.

"Saya tidak melihat dakwaan ketidakwujudan Hang Tuah ini akan mengganggu orang Melayu kerana ini adalah pendapat akademik. Jika ada yang terganggu, mereka itu jahil," katanya.

Sebelum ini sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) mendakwa menemui dokumen dan artifak yang diterima daripada kerajaan Ryukyu di Jepun dan satu lagi dari Portugal.

Berita Harian X