Khamis, 19 November 2015 | 4:25pm

Tindakan Sarawak beri kesan perpaduan, jati diri

KETUA Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Awang Sariyan menunjukkan antara novel yang mendapat anugerah Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2014 (HSPM) di majlis sidang media. - Foto Saifullizan Tamadi
KETUA Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Awang Sariyan menunjukkan antara novel yang mendapat anugerah Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2014 (HSPM) di majlis sidang media. - Foto Saifullizan Tamadi

KUALA LUMPUR: Tindakan Sarawak mengguna pakai bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi untuk urusan pentadbiran negeri itu selain bahasa Melayu, akan meminggirkan bahasa kebangsaan.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Awang Sariyan, berkata, tindakan itu bukan saja memberikan kesan besar kepada aspek perpaduan dan jati diri, malah akan membantutkan aspirasi mendaulatkan bahasa Melayu.

Katanya, isu di Sarawak bukan hanya berkisar kelonggaran penggunaan bahasa Inggeris selain bahasa Melayu dalam urusan di negeri itu, sebaliknya mencetuskan isu dasar dwibahasa dalam urusan pentadbiran di negeri berkenaan.

"Sebagai warga negara Malaysia, kita tidak lagi boleh melihat persoalan yang sempit sebaliknya mendukung cita-cita negara secara keseluruhannya membabitkan semangat Perkara 152 dalam Perlembagaan yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi.

"Tindakan yang diambil (oleh Sarawak) akan menyebabkan lebih ramai rakyat cenderung memilih bahasa Inggeris sebagai bahasa utama, sekali gus menyebabkan bahasa Melayu terpinggir," katanya dalam sidang media Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM 2014) di Menara DBP di sini, pagi tadi.

Beliau berkata demikian mengulas pengumuman Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem di Kuching, semalam mengenai keputusan Sarawak menggunakan bahasa Inggeris dalam urusan pentadbirannya selain bahasa Melayu.

Mengikut Adenan, keputusan itu praktikal dan logik untuk diamalkan, selain perlu dan tidak dapat dielakkan apatah lagi terdapat laporan mengenai graduan yang gagal mendapat pekerjaan kerana kelemahan berbahasa Inggeris.

Mengulas lanjut, Awang berkata, setiap negeri perlu mendukung semangat dan roh Perlembagaan mengenai Perkara 152.

"Secara praktik, kelonggaran membabitkan penggunaan bahasa Melayu sudah diberi pada 10 tahun pertama penggubalannya sebelum ini.

"Justeru selepas tamat tempoh itu, sepatutnya tidak timbul helah untuk bahasa Melayu tidak digunakan," katanya.

Awang berkata, penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan penduduk Sabah dan Sarawak sudah tinggi yang sudah berlaku sejak dekad 1980-an lagi.

Beliau berkata, program dakwah bahasa Melayu yang disertainya bersama Jabatan Ketua Menteri Sabah umpamanya menunjukkan penguasaan bahasa Melayu sudah pun tinggi.

"Hampir 100 etnik yang ada berhubung dalam bahasa Melayu termasuk Murut, Bidayuh dan Iban yang semuanya berkomunikasi dalam bahasa Melayu.

"Justeru, kelebihan Sabah dan Sarawak itu perlu digilap yang seterusnya memberi peluang untuk bahasa Melayu menjadi bahasa utama," katanya.

Berita Harian X