Rabu, 18 November 2015 | 8:18pm

TPPA dijangka dimeterai Februari depan - Najib

NAJIB dan John Key ketika mengadakan mesyuarat dua hala sempena Sidang Kemuncak APEC di Manila, hari ini. - Foto BERNAMA
NAJIB dan John Key ketika mengadakan mesyuarat dua hala sempena Sidang Kemuncak APEC di Manila, hari ini. - Foto BERNAMA

MANILA: Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dijangka dimeterai oleh 12 negara anggotanya pada awal Februari depan di New Zealand.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri New Zealand, John Phillip Key dalam mesyuarat dua hala dengan beliau di sini.

"Semasa mesyuarat kami pagi tadi, Key ada memaklumkan kepada saya ada kemungkinan perjanjian TPPA akan ditandatangani di New Zealand pada awal Februari tahun depan jika yang mana dalam konteks Malaysia, Parlimen memberikan persetujuan untuk kerajaan menandatanganinya," katanya pada sidang media di sini.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, dalam mesyuarat dengan 12 pemimpin negara anggota TPPA yang diadakan di sisi Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) selepas itu, semua menyatakan komitmen untuk berusaha ke arah mendapatkan ratifikasi dan memeterai perjanjian itu supaya ia dapat dilaksanakan dan diraih manfaatnya.

"TPPA akan memanfaatkan pengguna dan industri. Semua pemimpin bersetuju bahawa setiap negara anggota akan meraih manfaat daripada perjanjian itu," katanya.

NAJIB bersama (dari kiri) Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe; Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama; Presiden Mexico, Enrique Pena Nieto dan Perdana Menteri New Zealand, John Key bergambar kenangan di persidangan pemimpin TPPA sempena Sidang Kemuncak APEC di Manila, Filipina, hari ini. - Foto AFP

Najib berkata, dalam mesyuarat TPP itu beliau menyatakan penghargaan kepada negara anggota TPPA lain yang telah bersedia memberikan fleksibiliti kepada Malaysia dalam isu-isu sensitif termasuk yang berkaitan agenda Bumiputera dan kontrak kerajaan.

Dalam soal ini, Perdana Menteri berkata, Malaysia sebenarnya membuat keputusan yang tepat untuk menyertai perkongsian itu pada peringkat awal iaitu semasa ia masih dalam perundingan berbanding negara yang menyertainya kemudian.

"Minat yang ditunjukkan oleh lebih banyak negara untuk menyertai TPPA menunjukkan yang Malaysia melakukan perkara yang betul untuk menyertai rundingan dan menikmati kelebihan sebagai anggota awal," katanya.

Berita Harian X