X
Selasa, 17 November 2015 | 2:21pm

Daftar dengan konsul jika ke Tamil Nadu

PENDUDUK tempatan menggunakan bot untuk membawa mangsa banjir yang meluas di Chennai, Tamil Nadu, New Delhi hari ini. - Foto EPA
PENDUDUK tempatan menggunakan bot untuk membawa mangsa banjir yang meluas di Chennai, Tamil Nadu, New Delhi hari ini. - Foto EPA

NEW DELHI: Rakyat Malaysia yang ingin ke Tamil Nadu diminta mendaftar dengan Pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Chennai, berikutan kawasan berkenaan kini dilanda banjir besar.

Konsul Besar, R Citra Devi berkata mereka yang sudah berada di bandar raya ini dan bahagian lain di negeri ini juga dinasihatkan untuk memberitahu nombor telefon mereka.

"Setakat ini, tiada laporan kecederaan membabitkan rakyat Malaysia dengan pihak berkuasa melaporkan 112 maut dalam bencana alam itu di negeri ini setakat ini," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Citra turut menasihati pelancong untuk sentiasa memantau ramalan cuaca sebelum memulakan perjalanan mereka.

Pejabat Konsul Jeneral 'boleh dihubungi di talian + 091-4424334434 atau e-mel mwchennai@kln.gov.my.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Meteorologi India (IMD) meramalkan hujan lebat dijangka berterusan tiga hingga empat hari lagi.

Menurut IMD, Chennai menerima taburan hujan 23.5sm antara 8 pagi Ahad dan 8 pagi hari berikutnya berbanding 14sm yang dicatatkan pada 7 November.

Ketua Menteri J. Jayalalithaa mengumumkan 500 crores (kira-kira RM312 juta) bagi operasi bantuan.

Pengkritik beliau menyalahkan perancangan bandar yang lemah dan projek pembinaan menyalahi peraturan di sepanjang sistem saliran utama yang menjadi faktor penyumbang utama kepada keadaan banjir yang teruk terutama di pusat bandar.

Perkhidmatan kereta api utama antara bandar terjejas teruk dengan banyak penerbangan terpaksa dijadualkan semula.

-- BERNAMA

Berita Harian X