Isnin, 16 November 2015 | 8:24pm

Bimbang ditukar antara punca tiada guru besar - MB Pahang

ADNAN membentangkan Bajet 2016 bagi negeri Pahang pada sidang Dewan Undangan Negeri Pahang hari ini. - Foto Farizul Hafiz Awang
ADNAN membentangkan Bajet 2016 bagi negeri Pahang pada sidang Dewan Undangan Negeri Pahang hari ini. - Foto Farizul Hafiz Awang

KUANTAN: Kebimbangan ditukarkan ke sekolah lain dikenal pasti sebagai satu daripada faktor lapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Pahang mempunyai kekosongan jawatan guru besar, kata Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Beliau berkata, sekolah yang masih tidak mempunyai guru besar ialah SJKC Gambang di Kuantan, SJKC Mengkarak (Bera), SJKC Padang Tengku (Lipis), SJKC Kerdau (Temerloh), SJKC Sungai Penjuring dan SJKC Karak (Bentong) serta SJKC Kea Farm dan SJKC Kuala Terla (Cameron Highlands).

"Kekosongan jawatan guru besar tidak dapat diisi disebabkan tiada calon yang memenuhi syarat lulus Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan dan mempunyai pengalaman pentadbiran sekurang-kurangnya tiga tahun.

"Terdapat guru-guru penolong kanan yang berkelayakan dan memenuhi syarat enggan memohon jawatan Guru Besar kerana bimbang ditukarkan keluar dari sekolah asal," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-13 di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Adnan berkata demikian semasa menjawab soalan Datuk Fong Koong Fuee (BN-Cheka)tentang bilangan sekolah yang masih tidak mempunyai pengetua atau guru besar dan sebab kekosongan itu tidak diisi.

Beliau juga menjelaskan bahawa jawatan pengetua di semua tujuh Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMK) iaitu SMK Khai Mun dan SMK Katholik di Bentong, SMK Triang (Bera), SMK Tanah Putih (Kuantan), SMK Chung Hwa (Lipis), SMK Chung Ching (Raub) dan SMK Hwa Lian (Temerloh) sudah diisi.

Adnan berkata ujian pentaksiran dan temuduga akan diadakan jika terdapat calon yang layak dan mereka yang melepasinya akan diperakukan ke Kementerian Pendidikan. Keseluruhan proses itu dijangka mengambil masa selama dua bulan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar, Datuk Seri Mohd Soffi Abdul Razak menegaskan Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor (PPAMPS) tidak akan menjejaskan sistem penyaluran air kepada penduduk di Pahang khususnya di Bentong dan Raub.

"Kajian telah dijalankan sebelum PPAMPS dan hasilnya ia tidak menjejaskan keupayaan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) untuk menyalurkan air, malah ia sebaliknya memberi pendapatan tambahan kepada kerajaan negeri," katanya.

Mohd Soffi menjawab soalan Choong Siew Onn (DAP-Tras) yang melahirkan kebimbangan jika penyaluran air mentah itu boleh mengakibatkan situasi yang disifatkannya sebagai 'kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan'.

Mohd Soffi berkata, PPAMPS turut merangkumi Empangan Kelau seluas 331 kilometer persegi (KM2) yang dijangka boleh beroperasi pertengahan 2016 dan akan berfungsi sebagai rizab air bagi menjamin kelestarian air terawat untuk rakyat negeri ini.

- BERNAMA

Berita Harian X