Rabu, 11 November 2015 | 5:00am

Laluan Sutera Baharu: Sejarah ditulis semula - Raja Nazrin

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

LONDON: Kesungguhan China membuka semula laluan sutera baharu menerusi laluan darat dan laut memang sangat ketara menerusi pelaburan dan kerjasama diplomatik antarabangsa yang dilaksanakan negara itu.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah kerajaan China telah melaksanakan pelbagai perkara seperti persidangan antarabangsa bagi menghuraikan keraguan dan kekeliruan mengenai inisiatif China mewujudkan kembali laluan sutera.

"Presiden China, Xi Jinping dan Perdana Menterinya, Li Keqiang telah membawa lebih daripada 20 delegasi ke Asia Tengah, Asia Tenggara, Eropah dan Afrika bagi memberi penjelasan secara mendalam mengenai tujuan China menerusi dokumen Vision and Actions on Jointly Building Silk Road Economic Belt and 21st Century Maritime Silk Road.

"Kesungguhan ini juga dapat dilihat menerusi pembiayaan dan pelawaan penyertaan bersama daripada semua pihak yang berminat merealisasikan inisiatif ini. Bagi membiayai projek ini, China mencagarkan sebanyak AS$300 bilion selain menubuhkan Dana Silk Road dan menggerakkan Asian Infrastructure Investment Bank (AIIB) dan BRICS New Development Bank.

"Laluan sutera setakat ini berjaya menarik minat lebih 60 negara antaranya negara ASEAN, Kesatuan Eropah dan United Kingdom disebabkan faktor manfaat ekonomi dan pengukuhan hubungan sepanjang laluan sutera," titah baginda pada ucaptama Persidangan Ekonomi Cina Dunia ke-7 di London pada Selasa.

Sultan Nazrin Shah bertitah, bagaimanapun inisiatif penubuhan laluan sutera ini rumit kerana ia berlaku ketika banyak negara global terutamanya Asia sedang mengalami ketidakstabilan ekonomi dan ketegangan dalaman.

Baginda bertitah, perkara ini turut ditambah dengan pertumbuhan memberangsangkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China berbanding Amerika Syarikat untuk menjadi kuasa ekonomi terbesar dunia.

"Pertumbuhan ekonomi China diterjemahkan ke dalam pengaruh kuat politik dan strategik China serta keupayaan memiliki aset ketenteraan yang lebih besar. Ini telah menimbulkan kebimbangan kepada Amerika Syarikat, Jepun dan India walaupun Amerika Syarikat dan sekutunya di Eropah, Asia Barat, Asia Tenggara dan Australasia terus menikmati peningkatan kuasa ketenteraan.

"Inisiatif ini turut menjadi rumit oleh faktor lain seperti pertikaian wilayah dengan negara jiran di laut dan darat. Pergeseran ini juga berpunca daripada perubahan kuasa dalam kalangan pemain utama dunia.

"Pergeseran China dengan Amerika Syarikat berlaku dalam tiga aspek kritikal. Pertama adalah di peringkat diplomatik, di mana China juga mahu bersaing menjadi kuasa besar dunia. Contoh yang paling jelas adalah pengaruh strategik di Afrika antara Amerika Syarikat dan China dan di Asia dan Kepulauan Pasifik di antara Jepun dan China," titah baginda.

Sultan Nazrin Shah bertitah, China bagaimanapun menyedari had kekuasaannya di mana institusi kewangan dan pelaburan yang ditubuhkan China tidak bermaksud untuk mencabar hala tuju kewangan global.

Baginda bertitah, cabaran paling rumit China melaksanakan laluan sutera baru adalah berhubung keselamatan dan pertahanan negara kerana ini adalah kelemahan relatif China yang paling jelas dan China telah melakukan beberapa kesilapan strategik.

"Bajet tahunan China tahun ini menunjukkan peningkatan perbelanjaan pertahanan melebihi 10 peratus. China kini lebih berupaya untuk mempertahankan pesisirnya, menegaskan kuasa maritim yang dipertikaikan dan membabitkan diri dalam operasi lanun di luar pantai Afrika. Langkah China ini bagaimanapun hanya transit daripada memberi tumpuan kepada pertahanan perairan pesisir luar untuk membina kapasiti perlindungan laut terbuka.

"Penambakan pulau oleh Beijing di Laut China Selatan telah mengukuhkan pemilikan dan kawalan ke atas perairan sekitarnya, tetapi dasar China yang menegaskan apa yang difikirkannya haknya di dalam kedua-dua kawasan ini dan juga seperti di Laut China Timur telah menyebabkan beberapa halangan yang serius kepada matlamat keselamatan dan kepentingan.

"Pada masa yang sama Beijing merenggangkan beberapa anggota ASEAN dan kehilangan muhibah dan kepercayaan dalam kalangan sebahagian daripada mereka. Pengenalan Presiden Xi Jinping terhadap Konsep Keselamatan Asia juga telah menyebabkannya kehilangan beberapa kredibiliti. Perkembangan ini telah memberi kesan negatif kepada kelancaran pelaksanaan program laluan sutera bukan saja di perairan Asia Tenggara tetapi di Lautan Hindi juga," titah baginda.

Sultan Nazrin Shah bertitah, ASEAN akan terus mengekalkan hubungan rapat dengan China atas sebab-sebab strategik, tetapi sokongan ini begitu lemah kerana pertikaian serta tindakan China di Laut China Selatan.

Baginda bertitah, dalam konteks Asia Tenggara pula, inisiatif laluan sutera boleh membantu membetulkan defisit infrastruktur dan memudahkan pembinaan untuk Komuniti Ekonomi ASEAN.

"Beijing telah berjanji untuk menyumbang kepada pelan induk perhubungan ASEAN yang telah diwujudkan pada tahun 2010. Pada tahun 2014, China berjanji untuk menyediakan pinjaman sebanyak AS$ 20 bilion untuk pembangunan infrastruktur serantau sebagai tambahan kepada AS$ 3 bilion untuk Tabung Kerjasama China-ASEAN.

"China juga telah menyatakan sokongan untuk rancangan Indonesia menjadi titik tumpuan maritim global dan paksi maritim. Sebanyak AS$20 bilion dipinjamkan untuk membantu merangsang ekonomi Indonesia dan pembangunan infrastruktur yang telah ditandatangani oleh Bank Pembangunan China dengan perusahaan milik Indonesia.

"Sokongan Malaysia terhadap laluan sutera maritim pula dizahirkan menerusi perjanjian Malaysia-China Joint Communique yang ditandatangani bersama ketika ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia-China tahun lalu. China juga terbabit dalam pembangunan pelabuhan Kuantan dan dalam pembangunan bersama Kawasan Perindustrian Malaysia-China Kuantan oleh konsortium dari kedua-dua negara," titah baginda.

Berita Harian X