Selasa, 3 November 2015 | 2:22pm
KAMALANATHAN bersama pengetua SMK Pasir Gudang 3, Suryati Tikon (kanan) ketika sidang media selepas mengadakan lawatan hari ini. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim
KAMALANATHAN bersama pengetua SMK Pasir Gudang 3, Suryati Tikon (kanan) ketika sidang media selepas mengadakan lawatan hari ini. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

Video pelajar berpeluk, cium disiasat

JOHOR BAHRU: Kementerian Pendidikan akan menyiasat klip video menunjukkan seorang pelajar perempuan memeluk seorang pelajar lelaki dipercayai kekasihnya dalam pakaian sekolah, yang tersebar luas di laman sosial sejak semalam.

Timbalan Menteri, P.Kamalanathan, berkata beliau kecewa dengan tindak tanduk pelajar itu walaupun beliau secara rasmi belum melihat video berkenaan.

"Saya mendengar mengenainya daripada seorang sumber dan saya fikir saya perlu melihatnya segera bagi memudahkan siasatan," katanya selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang 3, di sini, hari ini.

Kamalanathan berkata, setakat ini, pihaknya belum lagi dapat mengenal pasti lokasi video itu dirakamkan dan berharap orang ramai yang mempunyai maklumat, tampil ke hadapan memaklumkannya kepada kementerian.

"Hanya selepas itu kita tahu jenis tindakan yang akan diambil terhadap mereka," kata Anggota Parlimen Hulu Selangor itu yang melawat sekolah berkenaan bagi melihat persiapan guru-guru serta pegawai pelajaran daerah bagi memastikan perjalanan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berlangsung dengan baik.

Video berdurasi 15 saat yang menampakkan kedua-dua pelajar itu berpeluk dan bercium, dipercayai dirakam oleh pelajar-pelajar lain di sebuah sekolah menengah namun tidak dinyatakan tarikh aksi dirakam dan lokasi sekolah terbabit.

Kamalanathan berkata, insiden itu berlaku berkemungkinan disebabkan anak-anak terlalu terdedah dengan pelbagai perkara termasuk suasana kehidupan yang berlainan.

"Apabila hidup dalam suasana yang berlainan daripada zaman dahulu, ibu bapa perlu membimbing anak-anak mereka dengan baik dan membimbing itu bukan sahaja tanggungjawab guru, malah semua pihak," tambahnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berpuas hati dengan perjalanan SPM yang diadakan di seluruh negara kerana pegawai petugas sudah melakukan persiapan rapi selain tiada aduan dan masalah diterima berhubung kertas soalan.

"Selepas kebocoran pada kertas Ujian Penilaian Menengah Rendah (UPSR) tahun lalu, kita telah menambah baik pelbagai perkara dan setakat ini, kita percaya secara total integriti guru-guru, pengawas dan pengetua yang bertugas.

Kita berharap keadaan peperiksaan lancar ini berterusan hingga selesai SPM dan juga Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) namun sekiranya terdapat isu-isu berbangkit, kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X