Khamis, 26 November 2015 | 3:19pm

Kerajaan negeri, PBT perlu buka lebih banyak tanah bina rumah kos rendah

Datuk Johari Abdul Ghani. - Foto Farizul Hafiz Awang
Datuk Johari Abdul Ghani. - Foto Farizul Hafiz Awang

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu membuka lebih banyak tanah milik mereka bagi pembinaan rumah mampu milik kepada golongan berpendapatan rendah.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani, berkata oleh kerana kebanyakan rumah yang baru dibina bernilai lebih RM300,000, melebihi kemampuan golongan berpendapatan rendah, maka tindakan itu perlu sebagai sebahagian daripada usaha meringankan beban rakyat.

Katanya, pada 2014, 79 peratus daripada pelancaran baharu perumahan terdiri daripada rumah berharga melebihi RM250,000.

"Dengan pendapatan median isi rumah yang hanya sebanyak RM4,585, mereka hanya mampu membeli rumah berharga tidak melebihi RM200,000 selepas mengambil kira komitmen lain seperti cukai, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan perbelanjaan asas.

"Sekiranya kerajaan negeri menjual tanah mereka kepada syarikat pemaju swasta, rumah-rumah akan dijual atas keuntungan maka harga itu melebihi kemampuan yang sedia ada oleh golongan itu," katanya ketika menjawab soalan Ng Wei Aik (DAP-Tanjong) ketika sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Menjawab soalan tambahan Ng mengenai garis panduan dan kriteria dalam permohonan pinjaman perumahan untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana, Johari berkata peminjam yang layak mempunyai akses kepada pembiayaan untuk membeli rumah kos rendah.

"Setakat akhir Ogos lalu, jumlah pinjaman perumahan sistem perbankan terus meningkat pada kadar 12.3 peratus malahan 86 peratus daripadanya adalah kepada pembeli rumah berharga di bawah RM500,000.

"Peratus penolakan untuk permohonan pinjaman perumahan pula menurun daripada 28.6 peratus pada 2012 kepada 18.6 peratus setakat Ogos tahun ini," katanya.

Katanya, pada masa sama, kerajaan giat berusaha meningkatkan tahap pemilikan rumah dalam kalangan rakyat di bawah Skim Rumah Pertamaku dan Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang mana unit perumahannya dijangka sekitar 20 peratus di bawah harga pasaran semasa.

"Selain itu, menerusi Bajet 2016 juga kerajaan memperuntukkan RM200 juta untuk menyediakan Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama bagi membantu pembeli rumah pertama untuk rumah-rumah kos rendah, sederhana dan mampu milik dalam membayar deposit pembelian rumah kepada golongan yang layak," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X