Isnin, 26 Oktober 2015 | 10:09am

15 kawasan di Kuala Langat, Sepang alami gangguan bekalan air

KUALA LUMPUR: Sebanyak 15 kawasan di Kuala Langat dan Sepang kini mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual ekoran bahan amonia yang tinggi di sumber air mentah sejak semalam.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), Amin Lin Abdullah, berkata Loji Rawatan Air Bukit Tampoi terpaksa ditutup sementara dan akan dibuka semula apabila paras kandungan amonia di air sungai terkawal.

Katanya, SYABAS kini sedang mengambil tindakan proaktif dengan memberi bantuan bekalan air menerusi lori tangki dan tangki statik ke kawasan terjejas.

Kawasan terbabit gangguan bekalan air ialah di Kampung Olak Lempit, Kampung Bukit Changgang, Kampung Labohan Dagang, Selangor Dredging, Taman Changgang Jaya, Kompleks Perabot Olak Lempit, Taman Arked dan Taman Ambar.

Kawasan lain ialah Taman Sri Dagang, Taman Topaz, Pusat Serenti, Kampung Sungai Manggis, Bandar Sungai Emas, Taman Seri Telok Datok dan Kampung Orang Asli Bukit Bangkong di Sepang.

Maklumat lanjut mengenai gangguan bekalan itu, boleh muat turun aplikasi mySYABAS atau melayari www.syabas.com.my.

- BERNAMA

Berita Harian X