Jumaat, 23 Oktober 2015 | 2:43am

Bajet 2016: Kekangan pinjaman dorong kelembapan sektor hartanah - Pemain industri


KUALA LUMPUR: Isu harga rumah mampu milik yang dikatakan terlalu mahal hingga melebihi RM400,000 bukanlah faktor utama kelembapan pasaran jualan projek perumahan baharu, sebaliknya ia berpunca daripada kegawatan ekonomi serta masalah pembeli mendapatkan pinjaman bank.

Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kuala Lumpur, Datuk Dr Sharifuddin Musa menjelaskan, pertumbuhan industri pembinaan bangunan dan perumahan tidak terganggu dengan isu harga sebaliknya lebih menjurus kepada kemampuan pembeli terutama rakyat tempatan.

"Sektor itu terbahagi kepada dua iaitu pasaran tempatan dan luar negara. Perkara yang menjadi masalah ialah di peringkat pembeli tempatan kerana mereka dikhuatiri sukar mendapatkan pinjaman bank.

"Perkara ini agak mudah bagi pembeli warga asing kerana mereka ada sumber kewangan kukuh, ada yang membeli tunai. Sebab itulah pemaju lebih banyak mensasarkan pembeli luar negara," katanya ketika mengulas mengenai perkembangan semasa isu perumahan negara.

Ketika ini, katanya pemaju besar lebih gemar membina kondominium terutama di kawasan bandar yang berhampiran kawasan membeli belah atau tumpuan pelancong untuk bercuti kerana lebih senang mendapatkan pembeli serta keuntungan yang tinggi.

PROJEK perumahan daripad kerajaan pusat untuk rakyat Terengganu di Jalan Hiliran (PPR) Hiliran Kuala Terengganu) yang siap dibina. - Foto Aswadi Alias
PROJEK perumahan daripad kerajaan pusat untuk rakyat Terengganu di Jalan Hiliran (PPR) Hiliran Kuala Terengganu) yang siap dibina. - Foto Aswadi Alias

Situasi itu menimbulkan banyak masalah kepada pemaju Bumiputera yang banyak terbabit dalam projek rumah teres atau mampu milik kerana terikat dengan kuota pembeli Bumiputera sedangkan kuasa pembeli untuk golongan itu cukup rendah.

"Masalah ini sangat ketara kerana pembeli daripada golongan berpendapatan sederhana dan rendah cukup terjejas. Walaupun berpendapatan kasar RM4,000 sebulan, mereka masih sukar nak dapatkan kelulusan pinjaman bank yang cukup jelas hanya mengutamakan keuntungan.

"Mereka (bank) langsung tidak fikirkan bagaimana nak bantu golongan itu dan juga pemaju terutama Bumiputera.

"Saya tidak khuatir pasal harga kerana kita berada di pusat bandar dan perkara sama berlaku di bandar lain. Saya lebih bimbangkan soal pinjaman yang dilihat terlalu sukar sehinggakan ramai yang tidak dapat membeli rumah walaupun cukup berminat," katanya.

Sehubungan itu, sempena pembentangan Belanjawan 2015, beliau meminta supaya kerajaan meneliti masalah mendapatkan pinjaman dan mencadangkan supaya kadar pinjaman bank dinaikkan kepada 95 peratus berbanding hanya 90 peratus.

Beliau juga menyarankan supaya kerajaan membenarkan pembeli rumah pertama mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membayar deposit rumah sehingga 20 peratus berbanding hanya 10 peratus yang dibenarkan sekali gus menggalakkan pertumbuhan sektor perumahan.

Berita Harian X