Isnin, 19 Oktober 2015 | 3:40pm

Mahkamah khas untuk jenayah alam sekitar

MENTERI Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - Foto Fariz Iswadi Ismail
MENTERI Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - Foto Fariz Iswadi Ismail

KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang mewujudkan mahkamah khas bagi membicarakan kes berkaitan jenayah alam sekitar terutama membabitkan pembakaran hutan secara terbuka.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pihaknya sedang mengkaji pelbagai aspek termasuk denda maksimum yang bakal dikenakan kepada pesalah alam sekitar.

"Kita mahu menguatkuasakan undang-undang sedia ada dan saya dapat fakta daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) sehingga kini lebih 3,500 kes sudah diambil tindakan membabitkan pelbagai industri termasuk peladangan, pertanian, operator kilang dan individu.

"Kita mahu mahkamah ini ditubuhkan khusus untuk menangani masalah alam sekitar supaya kes ini boleh diketengahkan dengan cepat dan diambil tindakan supaya mereka yang terbabit merasai kesannya," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Wan Junaidi berkata, kementeriannya sedang bekerjasama dengan Jabatan Peguam Negara bagi meneliti aspek perundangan bagi mewujudkan mahkamah itu.

Katanya, hukuman sedia ada yang dikenakan terhadap industri yang menyebabkan kebakaran dan pencemaran udara masih tidak memadai berbanding dengan kesan yang ditanggung pelbagai pihak.

"Kita sedang mengkaji hukuman maksimum RM50,000 yang dikenakan kepada syarikat yang terbabit dalam pencemaran alam sekitar ini kerana ia masih tidak mencukupi," katanya.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata kerajaan Indonesia meminta Malaysia meneruskan bantuan menghantar pesawat Bombardier CL425MP untuk membantu memadamkan kebakaran di sekitar Palembang, selatan Sumatera.

Menurutnya, Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi memaklumkan misi bantuan itu amat berkesan dan berjaya mengurangkan jerebu di beberapa kawasan di Indonesia.

"Bagaimanapun ketika ini kebakaran masih belum reda dan asap masih menghala ke Semenanjung. Asap dari arah Sumatera dan Kalimantan telah berpecah dua hasil tiupan angin barat daya.

"Indonesia sangat menghargai bantuan yang kita beri tetapi bantuan pesawat itu mungkin akan dihentikan sementara bagi memastikan ia melalui proses penyelenggaraan sebelum dihantar semula," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X