Sabtu, 17 Oktober 2015 | 11:51pm

Peserta Johor muncul juara Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan

TIMBALAN Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Che Azemi Haron (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada Johan Pertandingan, Muhammad Shahrin Haron (kanan) pada Pertandingan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Kebangsaan ke-29 di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka. Turut hadir, Ketua Satu GAPENA, Prof Datuk Wira Abdul Latiff Abu Bakar (kiri). - Foto Adi Safri

KUALA LUMPUR: Deklamator mewakili negeri Johor, Muhammad Shahrin Haron dinobatkan sebagai johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) Peringkat Kebangsaan Ke-29 yang diadakan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sebentar tadi.

Tempat kedua menjadi milik peserta mewakili institusi pengajian tinggi awam (IPTA), Muhammad Safwan Mohd Yusof manakala deklamator dari Negeri Sembilan , Fairuzan Abdul Majid meraih tempat ketiga.

Johan menerima piala pusingan mantan Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghafar Baba, wang tunai RM 5,000, sijil penyertaan dan hadiah iringan, tempat kedua membawa pulang RM 3,000 dan tempat ketiga, RM 2,000.

Hadiah disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi), Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Che Azemi Haron.

Turut hadir, Ketua Satu GAPENA, Prof Datuk Wira Dr Abdul Latiff Abu Bakar dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP, Datuk Sallehuddin Abang Shokeran.

Seramai 19 peserta mewakili negeri dan pelbagai institusi mengambil bahagian pada peringkat saringan SDPK 2015 yang berlangsung semalam.

Bagaimanapun, cuma lima peserta berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir SDPK 2015.

Program anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dengan kerjasama DBP dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) itu dianjurkan sejak 1987 bagi menyemarakkan semangat cintakan tanah air menerusi alunan puisi.

Peserta lain yang turut melayakkan diri ke peringkat akhir SDPK 2015 termasuk Tengku Anizan Tengku Ibrahim mewakili Terengganu dan Abdul Gafar Mahdi dari Sarawak.

Berita Harian X