Jumaat, 16 Oktober 2015 | 4:19pm

Loji tenaga Tanjung Bin sedia mulakan operasi - Malakoff

Tanjung Bin (T4) milik Malakoff Corp Bhd di Johor bersedia untuk memulakan operasi komersial pada Mac 2016. - Foto Malakoff
Tanjung Bin (T4) milik Malakoff Corp Bhd di Johor bersedia untuk memulakan operasi komersial pada Mac 2016. - Foto Malakoff

KUALA LUMPUR: Loji jana tenaga berkuasakan arang batu Tanjung Bin (T4) milik Malakoff Corp Bhd di Johor bersedia untuk memulakan operasi komersial pada Mac 2016.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Syed Faisal Albar, berkata loji yang berkapasiti 1,000 megawatt itu menetapkan tarikh operasi awalnya semalam menerusi penyelarasan dengan Grid Kebangsaan.

"Penyelarasan menunjukkan projek T4 mengikut jadual. Peringkat akhir adalah tarikh operasi komersial loji yang dijangka pada Mac 2016," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Penganalisis menjangka loji T4 menyumbang RM1 bilion hingga RM1.2 bilion kepada pendapatan tahunan pengeluar tenaga terbabit dan berkemungkinan memacu pertumbuhan pendapatan tahun kewangan 2015.

T4 menambah 1,000 megawatt lagi kepada kapasiti sedia ada sebanyak 2,100 megawatt.

Malakoff adalah pengeluar air dan tenaga bebas dengan fokus utama kepada penjanaan tenaga, penyahgaraman air serta perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan.

Aset antarabangsanya termasuk perniagaan tenaga dan air di Arab Saudi, Algeria, Bahrain dan Australia.

Pada waktu rehat tengah hari saham Malakoff naik tiga sen kepada RM1.73 dengan 3.66 juta saham diniagakan.

- BERNAMA

Berita Harian X