Sabtu, 10 Oktober 2015 | 7:08pm

Jawatankuasa khas teliti kebajikan anak Orang Asli di asrama - KPM

KETUA Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof. - Foto Muhaizan Yahya
KETUA Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof. - Foto Muhaizan Yahya

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan menubuhkan jawatankuasa khas membabitkan pelbagai pihak dan agensi bagi mengkaji serta meneliti aspek kemajuan, keselamatan, kebajikan dan kesihatan anak Orang Asli yang tinggal di asrama sekolah yang disediakan kementerian itu.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof, berkata jawatankuasa itu yang akan segera dibentuk, akan dipengerusikan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Operasi Pendidikan).

Jawatankuasa itu diberi masa tiga bulan bermula Oktober ini bagi menyedia dan mengemukakan syor penambahbaikan berkaitan kepada KPM, katanya.

"KPM juga memutuskan untuk mengambil tiga tindakan iaitu mengarahkan kumpulan guru pakar dalam psikologi dan kaunseling untuk turun padang membantu rakan, murid dan guru serta ibu bapa untuk menangani trauma yang dihadapi di samping menenangkan perasan mereka.

"KPM turut akan mengadakan latihan khusus berkaitan budaya dan cara hidup masyarakat Orang Asli secara berperingkat kepada guru yang mengajar di sekolah Orang Asli," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, KPM katanya, mahu punca insiden kehilangan tujuh kanak-kanak Orang Asli di Pos Tohoi, Gua Musang, sejak Ogos lalu diteliti secara objektif dan meyakinkan semua pihak berikutan insiden itu berlaku ketika masih berada dalam kawalan guru sekolah.

"KPM mengambil kesempatan ini mengucapkan takziah kepada ibu bapa dan keluarga murid yang terbabit serta berdoa semoga murid yang masih belum ditemui berada dalam keadaan selamat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan gara-gara takut didenda guru kerana mandi sungai, tujuh murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan Pos Tohoi, Gua Musang dikhuatiri sesat dan hilang apabila melarikan diri masuk ke dalam hutan di Pos Tohoi pada 23 Ogos lalu.

Setakat ini empat mayat sudah ditemui manakala dua lagi murid ditemui selamat di sekitar Sungai Perias, Gua Musang.

Sementara itu, Khair berkata, KPM merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid kerana memberi perhatian khusus terhadap tragedi ini termasuk semua pihak yang terbabit dalam usaha pencarian.

Berita Harian X