Sabtu, 10 Oktober 2015 | 5:00pm

2 kanak-kanak Orang Asli kekurangan zat yang serius

MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (kiri) melawat murid orang asli yang terselamat, Mik Sudiar Aluj, 11, yang masih trauma sambil ditemani ibunya, Rocita Bahir, 41, di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (kiri) melawat murid orang asli yang terselamat, Mik Sudiar Aluj, 11, yang masih trauma sambil ditemani ibunya, Rocita Bahir, 41, di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

KOTA BAHARU: Dua kanak-kanak Orang Asli yang ditemui selamat semalam selepas hilang sejak Ogos lepas di Pos Tohoi, Gua Musang, kini dilaporkan dalam keadaan stabil tetapi masih lemah memandangkan kekurangan zat yang serius dalam badan.

Pakar Kanak-Kanak Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII). Nik Nasaruddin Nik Leh berkata Norieen Yaakob, 10, dan Mirsudiar Aluj, 11, perlu menjalani pemulihan secara berperingkat kerana mengalami kekurangan zat yang serius dan dari segi psikologi mereka masih trauma untuk berkomunikasi serta berdepan dengan orang ramai.

"Sekarang ini yang utama kita kena pulihkan tahap kesihatan mereka. Ia dilakukan secara berperingkat bagi mengelakkan komplikasi dan pada peringkat awal ini kita hanya akan sediakan minuman berkhasiat serta makanan yang lembut seperti makanan yang dikisar.

"Pada masa sama juga, kita akan rujuk pakar farmasi dari segi penyediaan ubat dan vitamin mengikut keperluan tubuh badan mereka," katanya kepada pemberita ketika ditemui di HRPZII di sini, hari ini.

Nik Nasaruddin berkata, dua murid itu memerlukan masa yang panjang dari segi pemulihan kesihatan dan emosi memandangkan mereka masih trauma dengan kejadian yang menimpa.

"Mereka hilang selama 47 hari tidak bermakna tempoh untuk kembali pulih adalah sama. Kita perlukan tempoh berbulan-bulan sebab itu kita rujuk mereka ke HRPZII untuk dapatkan rawatan daripada pakar-pakar.

"Selepas melihat keadaan mereka agak pulih dari segi kesihatan, kita akan hantar kembali ke Hospital Gua Musang untuk sesuaikan dengan persekitaran dan pantau perkembangan kesihatan dan emosi mereka," katanya.

Dua kanak-kanak itu yang adalah murid Sekolah Kebangsaan Tohoi, Gua Musang ditemui di tebing Sungai Perias, kira-kira 3.3km dari Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) pada pukul 12.15 tengah hari semalam, bersama satu mayat budak perempuan.

Mayat yang ditemui itu dikenali sebagai Ika Ayel, 9, selepas proses pengecaman yang dilakukan oleh anggota keluarganya petang semalam di Hospital Gua Musang (HGM).

Kedua-dua kanak-kanak itu, yang ditemui selepas 47 hari hilang, adalah antara tujuh murid Orang Asli iaitu enam budak perempuan dan seorang lelaki berusia antara 7 dan 11 tahun dari SK Tohoi, yang melarikan diri dari asrama sekolah itu kerana takut dikenakan tindakan oleh guru selepas didapati mandi di sungai berdekatan tanpa kebenaran pada 23 Ogos lepas.

Sebelum ini, pasukan mencari dan menyelamat pada Rabu lepas menemui satu mayat kanak-kanak perempuan yang telah reput di sungai itu, yang kemudian dikenal pasti sebagai Sasa Sobrie, 8.

Pada Khamis pula, sebahagian tengkorak dan beberapa batang tulang rusuk kanak-kanak ditemui kira-kira 500 meter dari lokasi penemuan mayat Sasa. Bagaimanapun, identitinya masih belum dikenal pasti.

Berdasarkan penemuan itu, pasukan mencari dan menyelamat menggiatkan usaha untuk mencari baki murid-murid yang masih hilang.

Tiga yang masih belum ditemui dan dikenal pasti adalah Juvina David, 7; Linda Rosli, 8; dan Haikal Yaakob, 8. - BERNAMA

Berita Harian X