Selasa, 6 Oktober 2015 | 5:37pm
PENASIHAT Eksekutif Editorial Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Abdul Jalil Ali bersama Moderator bagi tajuk Revitalisasi Akta dan Undang-undang Media, Pengarang Berita Kanan, Berita Harian, Thillinadan Muniandy (tengah) dan Mantan Profesor Tamu, Prof Salleh Buang (kiri) pada Forum Media Kebangsaan 2015 'Hala Tuju dan Masa Depan Kewartawanan di Malaysia' anjuran MPI dan BSN. - Foto Surianie Mohd Hanif
PENASIHAT Eksekutif Editorial Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Abdul Jalil Ali bersama Moderator bagi tajuk Revitalisasi Akta dan Undang-undang Media, Pengarang Berita Kanan, Berita Harian, Thillinadan Muniandy (tengah) dan Mantan Profesor Tamu, Prof Salleh Buang (kiri) pada Forum Media Kebangsaan 2015 'Hala Tuju dan Masa Depan Kewartawanan di Malaysia' anjuran MPI dan BSN. - Foto Surianie Mohd Hanif

Beberapa undang-undang media Malaysia usang, perlu diperbaharui

KUALA LUMPUR: Beberapa undang-undang terhadap media di negara ini disifatkan sebagai usang dan perlu diperbaharui selaras keperluan semasa.

Pengamal undang-undang yang juga bekas Profesor Tamu Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Salleh Buang berkata, berbanding negara barat, undang-undang terhadap media di sana sentiasa diperbaharui selain disertakan unsur melindungi warga media.

Katanya, antara undang-undang dimaksudkan ialah Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 (disemak 1969), Kanun Keseksaan membabitkan fitnah jenayah serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Kita mempunyai undang-undang bertulis yang diluluskan Parlimen tetapi sudah usang kerana berbanding negara lain, mereka sudah memperbaharuinya beberapa kali.

"Selain itu, ada beberapa undang-undang perlindungan di negara Barat bagaimanapun tidak terdapat di negara kita.

"Undang-undang kita semua diluluskan Parlimen sedangkan dunia sekarang sudah beralih daripada media cetak kepada media digital. Akta itu sudah tidak relevan, bagaimana kita hendak melesenkan media dalam bentuk digital dan internet.

"Pada masa sama, masih ada undang-undang yang masih relevan. Jadi kita tidak boleh mengatakan keseluruhan undang-undang itu tidak relevan kerana masih ada lagi yang penting," katanya ketika ditemui selepas menjadi panel Forum Media Kebangsaan 2015 anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI).

Bagi tujuan itu, Salleh meminta Jabatan Peguam Negara serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengeluarkan buku panduan undang-undang sebagai rujukan kepada kedua-dua pengamal media arus perdana dan media sosial.

Forum sehari bertemakan Halatuju dan Masa Depan Kewartawanan di Malaysia itu sempurnakan perasmiannya oleh Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar dan ditaja Bank Simpanan Nasional (BSN).

Selain Kadir dan Salleh, ahli panel lain ialah Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr Chamil Wariya; Penasihat Eksekutif Editorial, Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Abdul Jalil Ali serta bekas Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial, Media Prima Berhad, Datuk Ahmad Talib.

Sementara itu, blogger yang juga Tokoh Wartawan Negara 2011, Datuk Abdul Kadir Jasin, berkata kegagalan mematuhi prinsip asas kewartawanan menyebabkan kerosakan kepada kredibiliti dan personaliti media arus perdana atau pengamal kewartawanan yang serius.

Beliau berkata, kecuaian media perdana mematuhi prinsip asas kewartawanan menyebabkan kedudukan mereka kini dicabar media sosial termasuk blog, facebook dan pelbagai medium media sosial lain.

"Jika media arus perdana benar-benar mengamalkan prinsip asas kewartawanan umpamanya, mereka tidak akan disaman kerana pihak yang berkenaan mempunyai hak untuk menjawab.

"Jika itu diamalkan, tidak akan ada media arus perdana disaman...dalam banyak keadaan mereka kalah. Ini sudah tentu menjejaskan kredibiliti mereka pada pandangan masyarakat," katanya.

Dalam pada itu, Chamil berkata, kewartawanan serius mempunyai tempat di dalam membentuk pemikiran masyarakat selain tidak akan tergugat dengan kemunculan akhbar tabloid.

"Dari satu sudut memang kita nampak edaran akhbar di negara ini menurun bagaimanapun jumlah pembaca dalam talian sentiasa meningkat," katanya.

Berita Harian X