Selasa, 6 Oktober 2015 | 2:04pm

Peperiksaan UPKK yang ditangguh, bermula 12 Oktober ini - KP JAKIM

KETUA Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha. - Foto NSTP
KETUA Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) membabitkan subjek Ulum Syariah dan Sirah serta Jawi dan Khat, yang ditangguhkan akibat keadaan jerebu akan diadakan bermula 12 Oktober ini.

Perkara itu diumumkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha, menerusi satu kenyataan media, di sini, sebentar tadi.

Katanya, UPKK bagi subjek Ulum Syariah akan diadakan pada 12 Oktober bermula jam 2.30 petang, manakala subjek Sirah serta Jawi dan Khat akan diadakan pada 13 Oktober pada jam 2.15 petang dan 4.15 petang.

"JAKIM ingin memaklumkan semua pihak tarikh baharu pelaksanaan peperiksaan UPKK ini membabitkan seramai 207,343 calon.

"Mohon kerjasama semua agensi berkaitan melaksanakan KAFA mengambil tindakan segera memastikan peperiksaan UPKK bagi tiga subjek ini dapat dilaksanakan dengan lancar," katanya.

Sebelum ini, JAKIM menunda peperiksaan UPKK yang sepatutnya diadakan pada 5 dan 6 Oktober berikutan keadaan berjerebu yang mencapai tahap tidak sihat dan selaras keputusan Kementerian Pendidikan menutup semua sekolah di Semenanjung Malaysia kecuali Kelantan sehingga hari ini.

Berita Harian X