Ahad, 27 September 2015 | 10:37pm

Lebih 200,000 calon duduki peperiksaan UPKK

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengendalikan peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) kepada lebih 200,000 calon di seluruh negara, termasuk calon-calon dari negeri Selangor.

Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha berkata, setakat ini, peperiksaan UPKK akan berlangsung serentak di seluruh negara sepertimana yang telah dijadualkan iaitu pada 5 hingga 8 Oktober 2015.

KETUA Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha.
KETUA Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha.

"Jadual peperiksaan syafawi Ujian Penilaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA) di Wilayah Persekutuan akan diadakan pada 1 hingga 2 Oktober 2015.

"Peperiksaan bertulis UPSRA dan UPKK akan diadakan pada 5 hingga 8 Oktober 2015 di seluruh Sekolah Rendah Agama di Wilayah Persekutuan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Katanya, Jakim menyambut baik kenyataan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menjadualkan semula peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) di negeri Selangor yang disebabkan oleh penutupan sekolah kerana masalah jerebu pada hari esok 28 September 2015.

Berita Harian X