Jumaat, 18 September 2015 | 8:10pm

Lelaki dakwa suara ghaib mahu dia jadi imam

SEORANG lelaki warga asing ditahan selepas secara tiba-tiba mengamuk dan menyerang Imam Masjid Negara, Mohd Zuhairee Mohd Yatim ketika solat Jumaat di Masjid Negara, hari ini.
SEORANG lelaki warga asing ditahan selepas secara tiba-tiba mengamuk dan menyerang Imam Masjid Negara, Mohd Zuhairee Mohd Yatim ketika solat Jumaat di Masjid Negara, hari ini.

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki bertindak menampar Imam Masjid Negara ketika solat Jumaat hari ini kerana mendakwa ada suara ghaib mahukan dia mengimamkan solat itu.

Perkara itu didedahkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah ketika dihubungi BERNAMA.

Beliau berkata, lelaki berkenaan bertindak sedemikian kira-kira 1.30 tengah hari semasa rakaat pertama solat Jumaat yang dipimpin oleh Mohd Zuhairee Mohd Yatim, 39.

Katanya, lelaki warga India berusia 31 tahun itu datang dari arah belakang ketika imam sedang membaca surah al-Fatihah.

Difahamkan lelaki berkenaan cuba merampas mikrofon yang berada pada jubah dipakai Mohd Zuhairee namun gagal menyebabkannya berang lalu mengambil tindakan menampar imam itu secara tiba-tiba.

Pihak pengurusan masjid kemudiannya membawa lelaki berkenaan keluar serta-merta dan menyerahkannya kepada pihak polis.

Zainol berkata, lelaki itu telah ditahan polis dan disiasat di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan.

"Hasil siasatan awal polis mendapati lelaki berkenaan dipercayai mengalami masalah mental dan sering bercakap seorang diri," katanya.

Zainol berkata, imam itu ditampar di sebelah pipi kanan dan telah menyebabkan mangsa mengalami sakit kepala akibat kesan tamparan.

Mohd Zuhairee kemudian kembali mengimamkan solat Jumaat dan meminta semua makmum solat semula.

Bilal bertugas, Mohamed Shukri Che Yusoh, 23, berkata beliau tidak menyangka perkara itu boleh berlaku.

"Sebelum ini tidak pernah berlaku perkara seperti ini di sini (Masjid Negara), saya agak terkejut dan syukur keadaan terkawal," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X