Rabu, 16 September 2015 | 3:20pm
KEADAAN jerebu di bandar Chukai,Kemaman.
KEADAAN jerebu di bandar Chukai,Kemaman.

Lapangan Terbang Kerteh dibuka hanya untuk penerbangan bersyarat

KEMAMAN: Lapangan Terbang Kerteh, Kemaman yang ditutup sejak pagi semalam untuk semua penerbangan akibat jerebu kini dibuka sejak awal pagi tadi apabila jarak penglihatan yang semakin baik.

Jarak penglihatan yang dicatatkan pada 12 tengah hari ini adalah 1,000 meter berbanding hanya 300 meter pada 5 petang semalam.

Pengurus Komunikasi dan Pehubungan Media Petronas Wilayah Pantai Timur, Zamri Mohamad bagaimanapun berkata penerbangan yang dibenarkan ialah penerbangan bersyarat seperti yang dibenarkan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan atas nasihat Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

"Kalau jarak ketampakan di pelantar membenarkan helikopter mendarat, barulah kita di Lapangan Terbang Kerteh membenarkan helikopter melakukan penerbangan dan kalau tidak selamat untuk mendarat, kita tak akan benarkan helikopter untuk membuat penerbangan.

"Hari ini, tiada penerbangan komersial kerana cuti umum dan hanya penerbangan helikopter yang membawa kru luar pantai syarikat minyak dan gas sahaja yang dilakukan," katanya di sini, hari ini.

Zamri berkata, sehingga 12 tengah hari, sebanyak 12 helikopter melakukan penerbangan pertukaran kru luar pantai.

"Penerbangan yang tertangguh semalam juga sudah dapat mendarat dengan selamat dan kita sentiasa memantau keadaan ini dari semasa ke semasa.

"Apa yang menjadi keutamaan kami dari pihak lapangan terbang ini ialah soal keselamatan yang mana keselamatan kru dan penumpang menjadi keutamaan," katanya.

Semalam, penerbangan dua syarikat penerbangan komersial yang beroperasi di lapangan terbang itu iaitu Malindo Air dan Firefly turut terjejas apabila lapangan terbang berkenaan ditutup selepas jarak penampakan yang dicatatkan merosot iaitu di bawah 800 meter.

- BERNAMA

Berita Harian X