Selasa, 15 September 2015 | 3:31pm

Jerebu: IPU Kemaman sangat tidak sihat

KELIHATAN kabur di Sungai Terengganu akibat keadaan berjerebu pada jam 1 tengah hari. - Foto MOHD SYAFIQ AMBAK
KELIHATAN kabur di Sungai Terengganu akibat keadaan berjerebu pada jam 1 tengah hari. - Foto MOHD SYAFIQ AMBAK

KUALA TERENGGANU: Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kemaman kini menghampiri tahap sangat tidak sihat dengan bacaan setinggi 187 setakat jam 2 petang ini. 

Pengarah Jabatan Alam Sekitar negeri, Roshadah Hashim, berkata kadar IPU di Kemaman itu semakin meningkat, berbanding hanya 125 petang semalam.   

Sementara itu katanya, bacaan IPU di Paka ketika ini ialah 126 iaitu pada tahap tidak sihat, berbanding 94 petang semalam.   

"Di Kuala Terengganu pula, bacaan IPU meningkat kepada 75 iaitu di tahap sederhana, berbanding 53 petang semalam," katanya.   

Justeru beliau menasihatkan orang ramai memakai topeng muka dan mengurangkan aktiviti luar yang boleh menyebabkan masalah kesihatan akibat pencemaran udara.       

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Mohamad Omar, berkata pihaknya sentiasa memantau peningkatan kes di kawasan yang teruk dilanda jerebu terutama di Kemaman.   

"Kita harap orang ramai mengutamakan kesihatan dengan memakai topeng muka setiap kali keluar rumah bagi mengelak masalah seperti sesak nafas," katanya.

Berita Harian X