Khamis, 10 September 2015 | 4:43pm

Malaysia akan dipromosi sebagai destinasi pelancongan seni - Nazri

MENTERI Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz. - Foto Abdullah Yusof
MENTERI Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz. - Foto Abdullah Yusof

KUALA LUMPUR: Seni halus termasuk lukisan kini menjadi sebahagian agenda pelancongan negara kerana keupayaan bidang itu dalam memberikan sumbangan kepada pendapatan negara.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz, berkata kementeriannya menyasar untuk mempromosikan Malaysia yang mempunyai ramai pelukis berbakat dan menghasilkan karya kontemporari yang menarik sebagai destinasi pelancongan seni.

"Landskap seni di negara ini juga mempunyai banyak galeri seni, manakala semakin ramai rakyat Malaysia yang menghargai seni dan membeli karya seni sebagai pelaburan," katanya pada Majlis Pelancaran International Art Expo Malaysia di Pusat Konvensyen dan Pameran MATRADE di sini, petang ini.

Yang turut hadir Pengerusi Lembaga Seni Visual Kebangsaan Malaysia, Datuk Mahadzir Lokman; Pengasas Art Expo Malaysia, Datuk Vincent Sim dan Pemangku Pengarah Urusan Kumpulan AmBank, Datuk Mohamed Azmi Mahmood.

Nazri berkata, dengan senario semasa, pelancongan seni berpotensi untuk menarik minat pelancong berkunjung ke negara ini.

"Dengan meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan seni, kita menggalakkan pelancong ke sini bukan hanya untuk melancong dan beli-belah, bahkan juga melabur dengan membeli koleksi seni artis tanah air," katanya.

International Art Expo Malaysia yang sudah berlangsung selama sembilan tahun, dianjurkan oleh Art Expo Malaysia dengan AmBank Group sebagai penaja utama.

Expo seni itu yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini, menyaksikan penyertaan 400 pelukis dari 30 negara, sekali gus menjadi medan terbaik untuk pembeli mendapat karya terbaik daripada artis tempatan dan luar negara.

Berita Harian X