X
Sabtu, 5 September 2015 | 10:43pm

21 penyair sertai Deklamasi Puisi ASEAN

PENYAIR dari Brunei, Kris Karmila mendeklamasikan puisi di Deklamasi Puisi ASEAN 2015 di Kuala Lumpur. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
PENYAIR dari Brunei, Kris Karmila mendeklamasikan puisi di Deklamasi Puisi ASEAN 2015 di Kuala Lumpur. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Seramai 21 penyair negara anggota ASEAN termasuk lapan dari Malaysia menyertai Deklamasi Puisi ASEAN bersempena DiverseCity 2015, di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), malam ini.

Dikendalikan Roslan Madun, acara itu dibawakan secara bersama oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).

Acara itu adalah sebahagian daripada rencana Pertemuan Penyair ASEAN bertujuan menjadikan sastera sebagai pengukuh keharmonian antara Malaysia dan negara ASEAN lain selain menyuburkan rasa kemanusiaan.

Acara yang dimulakan penyair dari Brunei, Kris Karmila kira-kira jam 9 malam itu turut disertai Dr Lim Swee Tin, Datuk Zurinah Hassan, Zaen Kasturi, Teo Wei Sing, Marsli NO, Raja Rajeswari Seetha Raman,Melizarani Selva dan Ahmad Shukri Abdullah dari Malaysia.

Mewakili Singapura ialah Rasiah Halil dan Suraido Sipan; Zefri Ariff Brunei ( Brunei); Saithansipo Rattanaphan dan Zakariya Amataya (Thailand); Maung Day dan Maung Pyiyt Minn(Kemboja); Rebecca T Anonuevo( Filipina); Kim Pinun ( Myanmar) serta Sutardji Calzoum Bachri, Fatin Hamama dan Asrizal Nur (Indonesia).

Turut hadir ialah Ketua Pengarah DBP, Datuk Awang Sariyan; Pengarah Urusan ITBM, Mohd Khair Ngadirom dan Presiden PENA, Dr Saleeh Rahamad.

Genre Sastera yang dipertanggungjawabkan di bawah kurator, Mohd Khair adalah sebahagian daripada cabang seni yang diketengahkan dalam penganjuran pertama DiverseCity 2015 sepanjang September ini termasuk Tarian, Tradisional,Muzik dan Komedi.

Berita Harian X