Sabtu, 5 September 2015 | 8:44pm

Pelaksanaan BI wajib lulus dalam SPM masih dikaji

KETUA Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
KETUA Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

LABUAN: Lembaga Peperiksaan Malaysia sedang meneruskan kajian komprehensif mengenai masa yang sesuai bagi pelaksanaan Bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof, berkata penangguhan pelaksanaannya ialah untuk memberi lebih banyak masa kepada guru dan pelajar membuat persediaan.

"Seperti diumumkan oleh Lembaga Peperiksaan, pelaksanaannya ditangguhkan kerana terdapat keperluan untuk kajian selanjutnya kerana guru kita masih belum bersedia tetapi ia akan dilaksanakan tetapi bukan pada 2016.

"Kita perlu memastikan apabila kita hendak melaksanakannya, semua sekolah mesti menerimanya dan guru mereka mesti terlatih sepenuhnya dan bersedia melaksanakan sepenuhnya pelan itu. Masih terdapat sekolah dan guru-guru yang belum bersedia dan menyokong pelaksanaannya," katanya kepada pemberita selepas menutup Persidangan Antarabangsa Labuan mengenai Penyelidikan Pendidikan (LICER) 2015 di sini hari ini.

Cadangan untuk Bahasa Inggeris dijadikan mata pelajaran wajib lulus pada 2016 dinyatakan dalam Pelan Pendidikan Kebangsaan 2013-2025.

Untuk persiapan lebih baik bagi pelaksanaan cadangan itu, Kementerian telah mula melatih 61,000 orang guru Bahasa Inggeris supaya lebih mahir dalam bahasa itu sejak 2013.

Timbalan Menteri Pendidikan, P Kamalanathan bulan lepas dilaporkan berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Lembaga Peperiksaan Malaysia untuk mendapatkan penjelasan mengenai penangguhan itu.

Katanya, beliau akan mengadakan mesyuarat dan menemui pihak berkepentingan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan yang telah menyuarakan pandangan mereka mengenai keputusan itu.

- BERNAMA

Berita Harian X