Sabtu, 29 Ogos 2015 | 9:20am
LEBIH 500 penduduk di Kampung Titi Tampang dan Kampung Guar Medang Gatal di Chuping di Padang Besar terpaksa bergelap malam tadi apabila ribut disertai hujan lebat. - Foto Google
LEBIH 500 penduduk di Kampung Titi Tampang dan Kampung Guar Medang Gatal di Chuping di Padang Besar terpaksa bergelap malam tadi apabila ribut disertai hujan lebat. - Foto Google

Ribut: Lebih 500 penduduk di Padang Besar bergelap

PADANG BESAR: Lebih 500 penduduk di Kampung Titi Tampang dan Kampung Guar Medang Gatal di Chuping di sini terpaksa bergelap malam tadi apabila ribut disertai hujan lebat yang melanda kedua-dua kampung itu petang semalam mengakibatkan bekalan elektrik terputus.

Selain kabel elektrik terputus akibat ditimpa sebatang pokok yang tumbang, beberapa buah rumah dan kenderaan termasuk sebuah kereta yang dinaiki tiga beranak turut dihempap sebatang pokok namun mereka terselamat.

Polis Padang Besar yang dihubungi berkata tiada laporan kemalangan akibat bencana itu diterima berikutan hujan ribut hampir setengah jam itu yang bermula kira-kira pukul 5.40 petang.

Mengikut jurucakap Tenaga Nasional Berhad (TNB) Perlis, pasukan bantuan dikerah untuk menyambung semula bekalan elektrik, yang pulih secara berperingkat mulai jam 2 pagi tadi.

Tinjauan Bernama mendapati sebatang pokok jati yang tumbang di jalan Padang Besar-Kangar menghalang laluan kedua-dua arah, dipotong dan dibersihkan oleh anggota Jabatan Perkhidmatan Awam dan tugas itu selesai kira-kira jam 7 malam.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perlis dengan lapan anggotanya turut memberi bantuan. - BERNAMA

Berita Harian X