Khamis, 27 Ogos 2015 | 9:17pm

Gangguan bekalan air tidak berjadual di Hulu Langat, Kuala Langat

KUALA LUMPUR: Beberapa kawasan di Hulu Langat sedang mengalami gangguan bekalan air sementara berikutan kerosakan pada salah satu pam air mentah di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat sejak 11 malam semalam.

Pengarah Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Korporat Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), Priscilla Alfred, dalam satu kenyataan hari ini berkata, Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB) iaitu operator bagi LRA memaklumkan kerja pembaikan pam air mentah itu dijangka siap pada 10 malam esok.

"Ekoran kerosakan pada pam itu, SYABAS terpaksa mengurangkan pengeluaran air terawat di kawasan berkenaan," katanya.

Antara kawasan yang terlibat adalah Cheras Mas, Taman Juara Jaya, Taman Sahabat, Taman Bukit Belimbing, Kg Rinching Tengah, Taman Hiew Piow, Taman Sungai Besi Indah 1, 2 dan 3, Taman Paling Jaya, Taman Harmoni Indah, Taman Tasik Semenyih, Taman Puncak Utama dan Universiti Nortingham.

Kawasan lain adalah Taman Putra Budiman, Taman Jaya 2, Taman Balakong Jaya, Taman Pelangi Semenyih, Taman Seri Timah, Taman Semenyih Impian, Taman Taming Jaya, Bandar Rinching Fasa 5 dan 6, Kg Rinching Tengah, Taman Industri Lifong, Taman Semenyih, Kg Rinching Hulu, Taman Industri Balakong, Taman Rinching Indah, Bandar Sunway Semenyih, Taman Desa Kenanga dan Taman Permai Semenyih.

Dalam perkembangan lain, Priscilla memaklumkan beberapa kawasan di Kuala Langat masih mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual dan tekanan air rendah ekoran penurunan paras Kolam Air Lipat Kajang sejak Isnin lepas ekoran peningkatan permintaan bekalan air terawat di kawasan tersebut.

Kawasan yang terlibat adalah Batu 7 Sijangkang, Taman Medan Indah, Batu 8 Sijangkang, Taman Riveria Perdana, Batu 9 Kampung Medan, Taman Perwira, Taman Desa Sijangkang, Taman Sijangkang Jaya, Taman Permai Sijangkang, Taman Seri Medan dan Taman Sijangkang Indah.

Priscilla berkata, pengguna boleh mendapatkan maklumat terperinci berhubung status bekalan air di kawasan masing-masing melalui aplikasi mySYABAS yang boleh dimuat turun ke telefon pintar menggunakan Google Playstore dan Appstore.

- BERNAMA

Berita Harian X