Sabtu, 22 Ogos 2015 | 11:14am

Kelas PA 21 tingkat keyakinan murid

MURID menikmati juadah di ruang rehat dalam bilik kelas. - Foto Zaman Huri Isa
MURID menikmati juadah di ruang rehat dalam bilik kelas. - Foto Zaman Huri Isa

KOTA BHARU: Konsep Pembelajaran Abad Ke-21 (PA 21) yang akan diperkenalkan secara meluas pada tahun depan adalah sistem pendidikan baharu yang lebih holistik.

Matlamat utamanya ialah menghasilkan murid yang mempunyai daya fikir hebat hasil garapan menerusi pendidikan yang memberi kebebasan berfikir dan kreatif.

Ia juga bertujuan melahirkan modal insan berkualiti, berpengetahuan, daya fikir kreatif, mempunyai keyakinan diri seperti yang dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Sebanyak 100 sekolah sudah melaksanakan program PA 21 di Kelantan dan ia akan dimulakan sepenuhnya di seluruh negara menjelang tahun depan.

Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu, Ab Aziz Daud berkata, di daerah Kota Bharu sebanyak 30 sekolah dipilih iaitu 20 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan 10 Sekolah Kebangsaan (SK) menjadi sekolah projek rintih PA 21 yang bermula pada September tahun lalu.

Beliau berkata, daripada 30 sekolah terbabit tiga sekolah sudah melaksanakan PA 21 iaitu Sekolah Menengah (SM) Sains Tengku Muhammad Faris Perta (24 bilik darjah), Sekolah Rendah Agama (SRA) Tengku Amalin A'isyah Putri (12 bilik darjah) dan SK Seri Ketereh (26 bilik darjah).

"Ketiga-tiga sekolah ini didapati sudah mencapai tahap 100 peratus kriteria pelaksanaan kelas PA 21.

"Setakat ini pelajar yang mengikut konsep PdP PA 21 menunjukkan suatu perubahan sikap yang memberangsangkan apabila mereka berani mengemukakan pandangan, cara berkomunikasi lebih matang dan bekerja secara berkumpulan," katanya.

Tepati ciri-ciri PA 21

Ab Aziz berkata, tiga sekolah terbabit menepati ciri-ciri PA 21 kerana pihak pengurusan sekolah berjaya menyediakan semua bilik darjah dengan kelengkapan fizikal pembelajaran antara lain susun atur bilik darjah, mempunyai  kemudahan teknologi maklumat, sudut bacaan, ruang rehat, dan mempamerkan hasil kerja murid.

"Ciri-ciri ini juga memberi semangat kepada pelajar untuk menunjukkan kebolehan dan keyakinan diri apabila perlu memberi idea kepada guru untuk dibincang bersama.

"Jika sebelum ini pembelajaran hanya berasaskan apa yang guru ajar termasuk membuat latihan ulang kaji di rumah, tetapi sistem ini (PA 21), 70 peratus pembelajaran datangnya daripada idea pelajar manakala 30 sahaja daripada guru yang bertindak sebagai pembimbing," katanya.

Guru Besar SK Seri Ketereh, Mohamed Rohim Mohamed pula berkata, konsep PA 21 difokuskan kepada enam aspirasi iaitu menjadi murid yang berpengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwi bahasa (bahasa Inggeris dan Melayu), etika dan kerohanian dan identiti nasional.

Katanya, konsep PdP kelas PA 21 banyak mengubah sikap murid itu sendiri apabila mereka menunjukkan keyakinan tinggi kepada diri, berani bercakap untuk mengemukakan idea, pencapaian pemahaman dalam pelajaran semakin meningkat.

INFO Sekolah PA 21

  • Selangor - 35
  • Sarawak - 87
  • Kuala Lumpur - 8
  • Negeri Sembilan - 64
  • Kelantan - 100
  • Sabah - 48
  • Melaka - 100
  • Perak - 20
  • Putrajaya - 25
  • Pahang - 44
  • Johor - 100
  • Pulau Pinang - 10
  • Kedah - 138
  • Perlis - 40
  • Terengganu - 32
  • Labuan - 26
  • Jumlah - 877
Berita Harian X