Isnin, 3 Ogos 2015 | 5:36pm

Pindaan akta bukan untuk sekat rakyat guna internet - Salleh

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

PUTRAJAYA: Cadangan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 bukan bertujuan menyekat kebebasan rakyat menggunakan media sosial dan internet, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Sebaliknya, Salleh berkata, cadangan pindaan kedua-dua akta itu adalah memastikan dunia tanpa sempadan ketika ini tidak disalah guna sehingga boleh mengancam kepada berlakunya jenayah.

"Banyak yang mengatakan kerajaan akan menutup internet, Ini tidak akan berlaku kerana ia (internet) adalah antara benda yang sangat diperlukan sekarang misalnya dalam sistem perbankan.

"Keperluan internet ini selari dengan perkembangan dunia semasa tapi tidak mahu ia disalah guna sehingga merosakkan keharmonian negara yang dibina sejak merdeka," katanya dalam sidang media selepas majlis serah tugas daripada bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, di sini hari ini.

Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah dan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia menggantikan Ahmad Shabery susulan rombakan Kabinet 28 Julai lalu. - BERNAMA

Berita Harian X