Khamis, 16 Julai 2015 | 6:29pm

Justo jumpa pembangkang, jutawan media sebelum jual maklumat - Polis Thai

Xavier Andre Justo
Xavier Andre Justo

BANGKOK: Polis Thailand, hari ini, mengesahkan bekas pengarah PetroSaudi International Ltd (PetroSaudi), Xavier Andre Justo mengadakan pertemuan dengan individu penting dalam pakatan pembangkang Malaysia sebelum menjual maklumat sulit milik syarikat itu.

Pegawai Pesuruhjaya Maklumat dan Komunikasi Polis Diraja Thailand, Leftenan Jeneral Prawut Thavornsiri, memberitahu New Straits Times, Justo, seorang warga Switzerland mengaku mengadakan pertemuan itu di sebuah hotel di Singapura. 

Justo bagaimanapun enggan menamakan individu terbabit.

Mengikut undang-undang Thailand, seseorang individu tidak boleh dinamakan sebelum waran tangkap dikeluarkan.

PEGAWAI Pesuruhjaya Maklumat dan Komunikasi Polis Diraja Thailand, Leftenan Jeneral Prawut Thavornsiri. - Foto Yazit Razali
PEGAWAI Pesuruhjaya Maklumat dan Komunikasi Polis Diraja Thailand, Leftenan Jeneral Prawut Thavornsiri. - Foto Yazit Razali

"Dia (Justo) bertemu dengan individu penting dari sebuah negara di Singapura. Dia kemudian berunding harga untuk menjual dokumen berkaitan PetroSaudi sebelum menjualnya," katanya.

Prawut kemudian mengesahkan individu itu adalah seorang daripada parti pembangkang di Malaysia. Beliau juga berkata Justo mengaku bertemu seorang jutawan media di lokasi sama di Singapura, namun enggan menamakan jutawan media itu.

"Kami sudah merampas komputer peribadi Justo dan berjaya menemui dokumen dan maklumat berhubung pertemuan di sebuah hotel di Singapura. Kebanyakan maklumat ditemui daripada rekod e-mel dan Whatsapp," katanya.

Beliau berkata, rekod imigresen dan hotel yang dikumpul Polis Thailand menyokong pengakuan Justo berhubung pertemuan itu. 

Katanya, Justo juga mengaku memeras ugut bekas majikannya, PetroSaudi International dan akan didakwa di bawah undang-undang Thailand bagi kesalahan peras ugut.

Bagaimanapun, katanya, Justo menafikan dia mengubah kandung dokumen yang dijual kepada sebuah organisasi berita di Eropah.

"Dia tidak mengubah dokumen itu dan menghantar dokumen asal (kepada pembeli) dalam bentuk salinan digital," katanya.

Ketika ditanya sama ada dokumen itu dijual kepada Sarawak Report yang berpangkalan di London, Prawut enggan mengulas.

"Semua orang tahu organisasi berita yang saya maksudkan," katanya.

Justo ditahan oleh Polis Thailand sejak akhir bulan lalu selepas didakwa mencuri beribu e-mel dan dokumen daripada PetroSaudi, selain cubaan memeras ugut bekas majikannya.

Dia memasuki Thailand selepas ditamatkan perkhidmatan oleh bekas majikannya itu.

Polis Thailand kini sedang menyiasat bagaimana, selepas keluar daripada syarikat itu, Justo melakukan ugutan menuntut RM9.9 juta (2.5 juta Swiss francs). PetroSaudi bagaimanapun tidak melayan tuntutannya. 

Pada Februari lalu, e-mel dan dokumen yang sudah diubah suai dimuat naik dalam Sarawak Report, yang mencetuskan isu politik membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pemimpin Malaysia.

Berita Harian X