Ahad, 28 Jun 2015 | 5:24pm

PM dijangka lancar Program Syahadah, berbuka puasa di Besut pada 6 Julai

BESUT: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka melancarkan Program Syahadah sempena Majlis Berbuka Puasa yang akan diadakan di Sekolah Menengah Imtiaz di Bukit Keluang di sini, 6 Julai depan.

Setiausaha Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof, berkata beliau akan diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Semasa majlis itu, Najib akan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 1,200 kanak-kanak miskin, anak yatim dan orang kurang upaya (OKU) dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera.

Perdana Menteri akan menyampaikan seunit komputer dan pencetak kepada setiap Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) daerah Besut sebelum berbuka puasa dan menunaikan solat maghrib di situ, katanya kepada pemberita di sini selepaskan menyampaikan sumbangan raya kepada 120 anak yatim di Masjid As Solihin Padang Luas di sini, hari ini.

Muhammad Pehimi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita dan Masyarakat negeri berkata, Najib dan isteri, dan tetamu jemputan yang lain termasuk Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan isteri, akan menyertai penduduk Besut berbuka puasa di halaman sekolah itu.

Najib dan Rosmah serta Ahmad Razif dan isteri akan bersama lebih 1,000 jemputan menunaikan solat Isyak dan tarawih di Masjid Ulul Albab, Seberang Jerteh sebelum berlepas pulang ke ibu negara dari pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Gong Kedak.

- BERNAMA

Berita Harian X