Sabtu, 27 Jun 2015 | 4:14pm

Tiada alasan penjawat awam culas bayar hutang - KSN

KOTA KINABALU: Tiada alasan bagi penjawat awam yang berhutang dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak mahu melunaskan hutang pinjaman mereka kerana banyak kelonggaran diberi untuk proses bayaran balik.

KETUA Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.
KETUA Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata banyak kelonggaran diberikan PTPTN kepada 33,000 penjawat awam untuk membayar balik pinjaman berkenaan.

"Saya tidak nampak sebab kenapa penjawat awam tidak boleh bayar. PTPTN boleh dibawa berunding, sama ada buat potongan gaji ikut kemampuan diri, banyak kelonggaran diberikan PTPTN," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Beliau ditemui selepas majlis pelancaran Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) Kinarut Selatan dan majlis menandatangani perjanjian antara Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) serta syarikat Visa Land Sdn Bhd.

Dalam pada itu, Ali berkata, borang pemotongan gaji untuk membayar pinjaman PTPTN telah dihantar kepada penjawat awam dan mereka wajib mengisi serta memulangkan borang berkenaan dengan kadar segera.

"Kita telah mengarahkan dan menghantar borang potong gaji kepada penjawat awam. Jika mereka tidak menerima borang berkenaan dan mahu urus sendiri boleh juga, kita akan pantau," katanya.

Ali berkata, perkara itu bukan sahaja membabitkan penjawat awam, malah terdapat lebih sejuta peminjam PTPTN masih 'liat' untuk melunaskan hutang kepada perbadanan itu. - BERNAMA

Berita Harian X