Rabu, 24 Jun 2015 | 10:01pm

KDN bantu polis Thailand siasat kes bocor maklumat PetroSaudi

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - Foto Sairien Nafis
MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - Foto Sairien Nafis

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri akan bekerjasama dengan polis Thailand bagi membantu siasatan kes penahanan bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd, Xavier Justo yang kini ditahan di negara itu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata sebagai menyambut baik penahanan warga Switzerland itu, pihaknya sedia membantu mengekstradisi beberapa suspek yang berkaitan bagi memudahkan pihak berkuasa Thailand menjalankan siasatan.

Beliau berkata, pihaknya turut dimaklumkan Justo adalah individu yang bertanggungjawab menyalurkan maklumat tidak tepat kepada blog Sarawak Report sehingga mencetuskan pelbagai tuduhan tidak berasas terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sudah mengambil beberapa langkah termasuk melihat dari aspek data forensik yang dimuat turun dan digunakan bekas pegawai itu yang mungkin berniat jahat atau dalang di sebaliknya yang menyalurkan maklumat tidak tepat kepada laman blog Sarawak Report mengenai transaksi perniagaan antara 1MDB dan PetroSaudi.

"Sarawak Report kemudiannya menjadi sumber maklumat rintis yang palsu di mana akhirnya dilaporkan semula media lain secara terbuka," katanya dalam sidang media pada majlis penerapan nilai-nilai murni bersama menteri di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, pihaknya turut difahamkan berdasarkan siasatan forensik, sebahagian daripada e-mel dan dokumen yang disiarkan dalam blog itu sudah ditokok tambah selepas dicuri dari pangkalan data PetroSaudi.

PetroSaudi, syarikat antarabangsa industri minyak dan gas yang berpangkalan di Arab Saudi itu, mendapat perhatian di Malaysia berikutan kerjasama yang pernah dijalankan dengan 1MDB.

Ahmad Zahid berkata, pihaknya turut difahamkan set data yang dicuri itu tidak lengkap, malah sudah menjalani proses penyuntingan secara profesional selepas dikeluarkan dari sistem PetroSaudi dengan niat jahat untuk menyerang dan merosakkan imej individu tertentu.

Beberapa akhbar hari ini melaporkan Justo ditahan polis Thailand atas tuduhan memeras ugut PetroSaudi, seperti yang dilaporkan media Thailand dan syarikat itu.

- BERNAMA

Berita Harian X