Ahad, 21 Jun 2015 | 11:10pm

KPDNKK serbu 247 premis jual barangan tiruan

KUALA PILAH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah menyerbu 247 premis perniagaan di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor yang menjual barang-barang tiruan.

Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek, berkata setakat 19 Jun lepas, bahagian penguat kuasa KPDNKK telah membuka 269 kertas siasatan dengan nilai sitaan RM13.5 juta.

"Antara jenis barang-barang yang disita ialah pakaian, barangan kulit, pakaian sukan, dakwat mesin pencetak, minyak wangi, kosmetik, rokok, minuman keras, peralatan komputer dan telefon bimbit.

"Serbuan-serbuan telah dilakukan ke atas stor simpanan, pengilang, pengimport, pemborong, peruncit dan perniagaan dalam talian," katanya kepada media di Majlis Berbuka Puasa Dun Juasseh di sini hari ini.

Hasan berkata, serbuan ke atas pemilik premis perniagaan yang menjual barangan tiruan akan kerap dilakukan bagi membanteras penjualan barangan tiruan di pasaran bagi menjaga kepentingan pengguna.

"Tindakan ini juga untuk melindungi pemilik paten barangan daripada hak cipta mereka dicetak rompak atau dicuri," katanya.

Beliau berkata, hasil daripada risikan yang dilakukan, sebanyak 433 premis di beberapa buah negeri telah dikenal pasti aktif menjual barangan tiruan.

"Saya ingin memberi peringatan kepada para peniaga supaya tidak meneruskan penjualan barangan tiruan dan individu yang melakukan kesalahan ini, boleh didenda maksimum RM10,000 bagi setiap unit atau tiga tahun penjara di bawah Akta Perihal Perdagangan 2011.

Bagi syarikat diperbadankan, denda maksimum RM15,000 bagi setiap unit," katanya.

Beliau turut meminta pengguna untuk membuat aduan ke pihak kementerian sekiranya mendapati ada peniaga yang menjual barangan tiruan.

Sementara itu, dalam majlis hari ini, Hasan menyampaikan sumbangan RM1,000 kepada setiap 17 masjid di DUN Juasseh dan sumbangan wang zakat kepada 260 asnaf.

- BERNAMA

Berita Harian X