Jumaat, 5 Jun 2015 | 4:41pm

Gempa bumi Sabah: Banyak bangunan kerajaan, premis perniagaan, rosak

PEGAWAI dari bahagian Falak, Pejabat Mufti Negeri Sabah, Mohd Jumat Abd Razak melihat kerosakan yang dialami Masjid Ranau. - Foto ihsan pembaca
PEGAWAI dari bahagian Falak, Pejabat Mufti Negeri Sabah, Mohd Jumat Abd Razak melihat kerosakan yang dialami Masjid Ranau. - Foto ihsan pembaca

KOTA KINABALU: Gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang berpusat di Ranau, pagi tadi mengakibatkan banyak kerosakan khususnya membabitkan bangunan dan premis perniagaan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, berkata ia membabitkan bangunan kerajaan, termasuk dua blok Hospital Ranau mengalami keretakan selain rumah ibadat.

Setakat jam 4 petang ini, katanya, antara yang premis yang mengalami kerosakan di Ranau ialah Bank Simpanan Nasional (BSN) yang pecah cermin hadapan, tokong Cina retak di dinding serta bangunan Mili Mewa Supermarket, yang retak di dinding luar dan dalam.

KEADAAN sebuah rumah di Ranau yang rosak berikutan gempa bumi. - Foto BERNAMA
KEADAAN sebuah rumah di Ranau yang rosak berikutan gempa bumi. - Foto BERNAMA

"Masjid Ranau juga retak dan runtuhan kecil pada siling, bangunan Maybank retak bahagian dinding, perumahan guru Ranau retak selain keretakan di Perumahan Polis Ranau dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau. Jalan retak juga berlaku di laluan Ranau ke Tambunan," katanya.

Beliau berkata, kerosakan penginapan puncak Gunung Kinabalu pula membabitkan Hostel Panar Laban, Hostel Gunting Lagadan Hut dan Rest House Laban Rata, yang semuanya mengalami kerosakan teruk.

Turut terjejas ialah daerah berhampiran, termasuk Tuaran dengan kerosakan kecil pada jubin dinding depan BSN Tamparulli dan retakan kecil di bawah berek Balai Polis Tamparuli.

"Di Kota Belud, Berek IPD mengalami keretakan pada dinding bangunan dua blok, selain kejadian sama membabitkan blok pejabat trafik, BAKA dan Unit Kereta Peronda," katanya.

Selain Ranau, Tuaran dan Kota Belud, secara keseluruhan, katanya, sembilan daerah lagi mengalami gegaran iaitu Kota Kinabalu, Penampang, Kota Marudu, Kunak, Tenom, Papar, Kudat, Keningau dan Beaufort.

Berita Harian X