Isnin, 18 Mei 2015 | 5:05pm

30,850 kediaman di Sabak Bernam dijangka alami gangguan bekalan air esok

SHAH ALAM: Lebih 30,850 kediaman atau kira-kira 154,250 pengguna di kawasan Sabak Bernam dijangka mengalami gangguan bekalan air, esok.

Gangguan itu berikutan henti tugas sementara Loji Rawatan Air Bernam River Headworks (BRH) bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan dan penggantian 'Manifold' paip air mentah yang lama dengan paip utama.

Pengarah Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Korporat SYABAS, Priscilla Alfred, berkata ia bagi memastikan loji berkenaan terus beroperasi dengan lancar tanpa gangguan yang tidak berjadual.

Priscilla berkata, pelaksanaan kerja-kerja henti tugas ini mengambil masa keseluruhan selama 14 jam termasuk tempoh pemulihan bekalan air yang bermula pada jam 9 pagi hingga 11 malam, esok.

Katanya, sebagai persediaan, semua pengguna di kawasan terbabit dinasihatkan untuk menyimpan bekalan air secukupnya bagi menghadapi gangguan berkenaan.

"Dijangkakan tempoh masa yang diambil untuk keadaan bekalan air pulih sepenuhnya di semua kawasan terbabit adalah secara berperingkat-peringkat, bergantung kepada kedudukan kawasan penempatan pengguna.

"Maklumat berhubung gangguan bekalan air ini termasuk status kerja pembaikan dan status pemulihan bekalan air di kawasan pengguna boleh diakses dengan mudah, pantas dan tepat dengan memuat turun aplikasi telefon pintar mySYABAS.

"Pada masa sama, SYABAS akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa sekiranya keadaan memerlukan dan pengguna di kawasan yang terjejas diminta bersabar serta menggunakan air dengan berjimat cermat sementara menunggu keadaan kembali pulih seperti sedia kala memandangkan kerja penyelenggaraan ini dilakukan untuk tujuan kemudahan pengguna di masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan.

BRH membekalkan air kepada kawasan agihan Sabak Bernam dengan kapasiti keseluruhan berjumlah 65 juta liter sehari.

Berita Harian X