Sabtu, 2 Mei 2015 | 7:31pm
KEADAAN sebuah kereta Honda CRV di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban ketika kejadian pokok tua tumbang. - Foto Wan Nur Amirah Wan Mohamed Redza.
KEADAAN sebuah kereta Honda CRV di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban ketika kejadian pokok tua tumbang. - Foto Wan Nur Amirah Wan Mohamed Redza.

Pemandu selamat kereta dihempap pokok

SEREMBAN: Seorang pemandu terselamat walaupun sebatang pokok dianggarkan berusia lebih 50 tahun tumbang menghempap keretanya di atas jalan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) di sini, hari ini.

Lelaki berusia 25 tahun yang enggan namanya disiarkan itu tidak mengalami kecederaan apabila pokok berkenaan yang tumbang akibat ribut kira-kira jam 4.52 petang tadi, hanya menyebabkan bumbung keretanya kemek.

Dia yang ditemui di lokasi kejadian berkata, ternampak seorang pengawal keselamatan di hadapannya mengangkat tangan berulang kali ketika memandu perlahan di kawasan itu untuk mencari parkir, sebelum kejadian itu.

"Saya tidak memahami isyaratnya dan tiba-tiba terasa ada benda sangat berat menghempap bumbung kereta menyebabkan saya terus menundukkan kepala sehingga pergerakan itu berhenti.

"Dalam keadaan panik itu, pengawal terbabit datang membantu membuka pintu di sebelah tempat duduk penumpang hadapan untuk mengeluarkan saya kerana pintu di sebelah pemandu tersekat kerana ditimpa pokok berkenaan," katanya.

Sementara itu, pengawal keselamatan terbabit, M Ganesan, 52, berkata lelaki terbabit bernasib baik kerana pokok dianggarkan sebesar satu pemeluk lelaki dewasa dan setinggi lebih 10 meter itu tumbang dengan perlahan.

"Saya nampak pokok itu bergerak dan tumbang sedikit demi sedikit dalam keadaan hujan lebat dan cuba memberi isyarat kepada pemandu itu, namun dia tidak sempat berhenti," katanya.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, N Sundram, berkata pokok berkenaan turut menghempap empat lagi kereta yang diparkir di tempat letak kenderaan di kawasan itu dan pihaknya mengambil masa sejam untuk memotong dan mengalihkannya.

Berita Harian X