Rabu, 4 March 2015 | 5:10pm

LRA Sungai Semenyih: Gangguan bekalan air pulih esok

KUALA LUMPUR: Gangguan bekalan air di wilayah Petaling, Kuala Langat dan Sepang yang terjejas akibat pencemaran air mentah di Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dijangka akan pulih sepenuhnya esok.

"Bekalan air di satu lagi wilayah yang terjejas iaitu Hulu Langat pula dijangka akan pulih sepenuhnya Jumaat ini," menurut Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dalam satu kenyataan hari ini.

Syarikat Konsortium ABASS Sdn Bhd sudah menjalankan operasi rawatan air sejak 1 pagi tadi dan sehingga jam 2 petang tadi, lebih 77 peratus kawasan terjejas di wilayah Petaling, Kuala Langat dan Sepang telah dipulihkan manakala di Hulu Langat, 45 peratus kawasan terjejas telah dipulihkan.

"Bagi mengurangkan kesulitan pengguna di kawasan yang belum pulih sepenuhnya bekalan air masing-masing, pihak SYABAS akan terus menyediakan bantuan bekalan air kecemasan melalui 49 lori tangki yang telah digerakkan sejak berlakunya gangguan bekalan air tidak berjadual ini," menurut kenyataan itu.

Keutamaan bantuan kecemasan air diberikan kepada kecemasan seperti kediaman berlaku kematian, majlis perkahwinan, hospital, pusat dialisis dan rumah kebajikan.

Bagi mendapatkan perincian status pemulihan bekalan air mengikut setiap kawasan, pengguna digalakkan mengakses laman web SYABAS di www.syabas.com.my yang akan dikemaskini setiap dua jam.

Aplikasi telefon pintar mySYABAS boleh dimuat turun menggunakan Google Playstore dan Apple Appstore serta portal pengguna Syabas.

- BERNAMA

Berita Harian X