Selasa, 3 March 2015 | 1:05pm

SPM 2014: Pelajar Jepun di Langkawi raih semua A

PELAJAR SMK Kedawang, Saaya Harada dari Jepun, menunjukkan slip keputusan SPM dengan keputusan 9A yang diterimanya di sekolah itu hari ini. - Foto Hamzah Osman
PELAJAR SMK Kedawang, Saaya Harada dari Jepun, menunjukkan slip keputusan SPM dengan keputusan 9A yang diterimanya di sekolah itu hari ini. - Foto Hamzah Osman

LANGKAWI: Ketidakupayaan bertutur sepatah perkataan bahasa Melayu pun ketika memasuki negara ini pada 2007, tidak menghalang seorang pelajar Jepun memperoleh 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.

Malah, Saaya Harada, 18, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kedawang di sini, adalah calon tunggal sekolah itu yang mendapat A bagi semua mata pelajaran yang diambilnya.

Seramai 200 calon sekolah itu mendaftar mengambil peperiksaan SPM pada tahun lalu.

Anak bongsu dari tiga beradik yang berasal dari Yamaguchi, Jepun itu tiba di Langkawi pada 2007 kerana mengikut bapa dan ibunya yang bekerja di sini.

"Masa tiba di Malaysia pada 2007, saya tidak boleh bercakap sepatah pun bahasa Melayu, tetapi sekarang saya boleh bercakap dan lulus cemerlang dalam bahasa itu dalam SPM.

"Kejayaan ini amat menggembirakan dan saya bercadang melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat dalam bidang perubatan," katanya ketika ditemui selepas mengambil slip keputusan SPM di sekolah itu, hari ini.

Saaya memperoleh A+ dalam Matematik, manakala bahasa Melayu, Inggeris, Sejarah, Kimia, Matematik Tambahan dan Biologi (A) dan Pendidikan Moral serta Fizik (A-).

Sementara itu, BERNAMA melaporkan Saaya yang fasih berbahasa Melayu berkata ibunya, Mariko Harada dan pengetua SMK Kedawang, Norini Wan Awang yang mesra dipanggil 'Bonda' dalam kalangan pelajar sekolah itu, adalah pembakar semangat untuknya membuat yang terbaik semasa peperiksaan itu.

"Dalam bahasa Jepun, ibu adalah 'Okasan' dan semangat saya datang daripadanya. Di rumah dia selalu memberi motivasi kepada saya dan di sekolah, Bonda dan guru-guru saya yang lain sentiasa memberikan galakan dan menasihati supaya tidak putus asa sepanjang saya belajar di sini," katanya.

Menceritakan pengalamannya belajar di sini, Saaya berkata dia berumur 10 tahun sewaktu tiba di Langkawi bersama-sama keluarganya yang mengikut bapanya seorang ahli perniagaan dalam tahun 2007 dan langsung tidak mempunyai asas dalam Bahasa Melayu ketika itu.

Namun beliau bertekad untuk mempelajari bahasa dan budaya setempat di sini dengan mengikuti kelas-kelas tuisyen dan turut dibantu ayahnya, Tomoharu Miki yang pernah mengambil kursus Bahasa Indonesia sebagai bahasa kedua semasa menuntut di sebuah universiti di Jepun.

Saaya memperoleh 4A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang didudukinya dalam tahun 2009 dan mulai menyerlahkan kecemerlangannya apabila memperoleh 7A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dalam tahun 2012.

"Pada mula-mulanya agak sukar tapi saya bernasib baik kerana saya mempelajarinya pada umur yang muda dan mudah untuk menyerapkan apa yang dipelajari," katanya.

Sementara itu, Norini menganggap pencapaian cemerlang Saaya sebagai anugerah besar dari anak didiknya yang berasal dari negara matahari terbit itu kepadanya dan menjulang nama SMK Kedawang.

"Ini merupakan doa yang dimakbulkan dan hadiah kepada Bonda. Kejayaannya memang sudah dijangkakan sebab beliau adalah pelajar yang cemerlang sejak dari tingkatan satu lagi dan pada (peperiksaan) percubaan (SPM) pun beliau adalah pelajar ranking cemerlang dalam daerah ini," katanya.

Norini turut memuji sikap Saaya yang pandai bergaul dengan pelajar-pelajar tempatan yang lain sejak mula-mula bersekolah di sini yang memudahkannya untuk menyesuaikan diri dan menumpukan perhatian kepada pelajaran.

Katanya, mendidik Saaya merupakan satu pengalaman bagi beliau dan guru-guru lain yang terlibat kerana remaja Jepun ini memiliki sikap dan kesungguhan yang jarang-jarang ada dalam kalangan pelajar tempatan.

"Bila kita memberi dorongan kepadanya, dia akan ambil sebagai cabaran, Kalau tidak boleh, dia akan terus mencuba sehingga boleh dilakukan," katanya.

Berita Harian X