Isnin, 2 Februari 2015 | 5:41pm
MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.. - Foto Rosela Ismail
MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.. - Foto Rosela Ismail

Rakyat perlu guna kuasa sebagai pengguna - Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: KUALA LUMPUR: Tindakan peniaga yang tidak menurunkan harga barangan selepas penurunan harga minyak secara mendadak seolah-olah satu sabotaj untuk menaikkan kemarahan rakyat kepada kerajaan, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, pengguna juga tidak seharusnya mengharapkan hanya kepada kerajaan untuk melindungi diri mereka dari kenaikan harga tetapi perlu gunakan kuasa sebagai pengguna untuk turunkan harga seperti boikot dan sebagainya.

"Pengguna majoriti manakala peniaga adalah minoriti. Tentu kuasa majoriti mampu mengatasi suara minoriti," katanya seperti dipetik menerusi laman Facebook beliau, hari ini.

Ketika mengulas mengenai komen Facebook beliau semalam yang meminta pengguna memboikot peniaga berbangsa Cina supaya menurunkan harga barang sehingga menjadi viral di media sosial, Ismail berkata, ia sebenarnya tidak ditujukan kepada semua kaum berkenaan.

"Ya, kenyataan itu bukan ditujukan kepada semua kaum Cina tetapi kepada pemborong dan peniaga Cina yang masih tidak mahu menurunkan harga walaupun harga minyak sudah turun.

"Sewaktu kenaikan harga minyak mereka gunakan alasan, seolah-olah sengaja dilakukan bagi wujudkan kemarahan kepada kerajaan.

"Tentang Melayu untuk boikot peniaga Cina ini saya jawab kepada FB (Facebook) yg mana mereka marah-marah kepada peniaga-peniaga Cina yang degil tidak mahu turunkan harga," katanya.

Ismail dalam kenyataannya di laman media sosial beliau semalam mempersoal tindakan peniaga kaum itu yang tidak menurunkan harga barangan biarpun harga minyak kini turun mendadak.

Kenyataannya itu mendapat maklum balas meluas daripada pengguna Facebook, dengan ada antaranya yang berkongsi status, malah tidak kurang juga yang mengaitkan ia mengandungi unsur perkauman.

Dalam komennya di laman sosial itu semalam, Ismail dipetik sebagai berkata "Maaf saya beri pandangan...selain daripada KPDNKK yang patut gunakan akta kawalan harga & anti pencatutan untuk ambil tindakan kepada peniaga yang naikkan harga tanpa sebab munasabah...kuasa yang terbesar ada pada pengguna.

"Majoriti pengguna adalah Melayu. Cina adalah minoriti. Kalau Melayu boikot perniagaan mereka, mereka tentu tiada pilihan untuk turunkan harga".

Berita Harian X