Sabtu, 24 Januari 2015 | 10:12pm
DUA penunggang motosikal terkorban selepas motosikal yang ditunggangi mereka bertembung sesama sendiri dalam kejadian yang berlaku di Pandamaran, Klang. - Foto Ihsan PDRM
DUA penunggang motosikal terkorban selepas motosikal yang ditunggangi mereka bertembung sesama sendiri dalam kejadian yang berlaku di Pandamaran, Klang. - Foto Ihsan PDRM

Dua maut motosikal bertembung di Pandamaran

Klang : Dua lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang bertembung sesama sendiri dalam kejadian di Pandamaran, Klang, malam semalam.

Dalam kejadian pada jam 11.25 malam itu, mangsa, Muhd Azamuddin Kudong, 18, dan Lim Soon Huat, 28, maut akibat kecederaan parah di kepala dan patah tengkuk.

Ketua Trafik dan Bahagian Ketenteraman Awam Klang Selatan, Deputi Superintendan Rosly Abdul Rahman, berkata sebelum kejadian, mangsa dikatakan mahu pulang ke rumahnya di Kampung Delek selepas tamat waktu bekerjanya di sebuah kolej swasta berdekatan tempat kejadian.

"Ketika dalam perjalanan pulang, Muhd Azamuddin dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan yang berada di hadapannya sehingga menyebabkan mangsa memasuki lorong bertentangan.

"Soon Huat yang sedang menunggang dari arah Pandamaran pula tidak sempat mengelak motosikal yang sudah berada di depannya dan mereka terus bertembung," katanya.

Rosly berkata, pertembungan kedua-dua motosikal itu menyebabkan kedua-dua mangsa terjatuh ke atas jalan raya dan mengalami hentakan yang kuat..

"Mangsa pertama disahkan mati di tempat kejadian dan mangsa kedua yang kritikal segera dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, untuk mendapatkan rawatan.

"Namun, beberapa jam selepas dirawat di zon merah, mangsa kedua disahkan meninggal dunia pada jam 4.30 pagi, tadi akibat kecederaan parah di seluruh badan," katanya.

Berita Harian X