Sabtu, 24 Januari 2015 | 6:22pm
SERI Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Sultanah Hajjah Haminah Hamidun menyerahkan Ijazah Anugerah Cemerlang kepada Mohamad Hafiz Hamidon di Majlis Istiadat Konvokesyen Ke-16 Management And Science University (MSU) hari ini. - Foto Shazreen Zamzuri
SERI Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Sultanah Hajjah Haminah Hamidun menyerahkan Ijazah Anugerah Cemerlang kepada Mohamad Hafiz Hamidon di Majlis Istiadat Konvokesyen Ke-16 Management And Science University (MSU) hari ini. - Foto Shazreen Zamzuri

Kecemerlangan MSU bantu jayakan agenda pendidikan negara - Permaisuri Agong

SHAH ALAM: Raja Pemaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah bertitah pencapaian dan kecemerlangan Management and Science University (MSU) dalam memberi pendidikan berkualiti membantu menjayakan agenda pendidikan negara.

Seri Paduka bertitah, usaha MSU merangkumkan semua aspek penjelmaan modal insan berkualiti berpaksikan tujuan asas pendidikan, sejajar dengan hasrat dan strategi pelan pembangunan pendidikan tinggi negara.

"Beta percaya pencapaian dan kualiti graduan MSU merupakan aset yang mampu dimanfaatkan oleh masyarakat dan negara," titah baginda, yang merupakan Canselor MSU, pada majlis konvokesyen universiti itu di sini hari ini.

Turut hadir Pro-Canselor MSU Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin dan Presiden MSU Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid.

Seramai 1,222 graduan menerima ijazah masing-masing pada majlis yang berlangsung sehari itu.

Dalam majlis itu, MSU turut mengurniakan anugerah Doktor Kehormat dalam Kepimpinan Pendidikan kepada Canselor Josai University, Jepun, Prof Dr Noriko Mizuta, dan anugerah Doktor Kehormat dalam Pengurusan kepada Pengerusi University Grants Commission, Sri Lanka, Prof Dr Kshanika Hirimburegama.

Dalam sidang akhbar kemudian, Dr Mohd Shukri berkata, MSU akan memperkenalkan kursus pengurusan bencana yang dijangka memulakan pengambilan pada September ini.

"Kursus jangka pendek itu akan menggunakan kepakaran dari Jepun melalui kerjasama MSU dengan universiti-universiti di sana dan penekanan utama diberi dalam aspek memupuk kesedaran, persiapan menghadapi bencana serta pengurusan selepas bencana," katanya.

Tambahnya lagi, kursus itu turut ditawarkan kepada orang ramai yang berminat mempelajari hal ehwal pengurusan bencana.

Penawaran kursus itu katanya, sebagai menyahut gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu universiti tempatan memberi input kepada kerajaan dalam merangka dan mencari kaedah terbaik untuk menyelesaikan masalah banjir. - BERNAMA

Berita Harian X