Sabtu, 24 Januari 2015 | 12:35pm

Banjir: Muhyiddin puji kecekapan JKN, MKN Sabah

TAN Sri Muhyiddin Yassin diiringi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman (dua dari kiri) beramah mesra dengan mangsa banjir ketika melawat mangsa-mangsa banjir di Dewan Serbaguna Membakut di Membakut, hari ini. - Foto Edmund Samunting
TAN Sri Muhyiddin Yassin diiringi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman (dua dari kiri) beramah mesra dengan mangsa banjir ketika melawat mangsa-mangsa banjir di Dewan Serbaguna Membakut di Membakut, hari ini. - Foto Edmund Samunting

BEAUFORT: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memuji kecekapan Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKN) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah dalam menangani masalah banjir di negeri ini.

Beliau berpuas hati dengan tindakan pantas JKN yang dipengerusikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan MKN negeri dalam mengendalikan pelbagai jabatan dan agensi berkaitan bagi membantu mangsa banjir di Sabah sejak lima hari lalu.

"Saya berpuas hati bekalan makanan dan minuman mencukupi, perkhidmatan rawatan kesihatan baik dan bekalan air bersih mencukupi. Tiada sebarang aduan dibuat oleh mangsa," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Membakut dekat sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, kerajaan sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi musibah banjir dan akan memastikan layanan sama rata diberikan kepada mangsa di semua negeri terbabit.

Bantuan wang ehsan banjir sebanyak RM500 bagi satu isi rumah turut diperluaskan kepada mangsa di Sabah, katanya sambil menjelaskan pembayaran akan segera dibuat selepas proses pendaftaran penduduk terjejas selesai di peringkat pegawai daerah dan MKN.

TAN Sri Muhyiddin Yassin diiringi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman (kanan) melihat statistik mangsa banjir ketika melawat mangsa-mangsa banjir di Dewan Serbaguna Membakut di Membakut, hari ini. - Foto Edmund Samunting
TAN Sri Muhyiddin Yassin diiringi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman (kanan) melihat statistik mangsa banjir ketika melawat mangsa-mangsa banjir di Dewan Serbaguna Membakut di Membakut, hari ini. - Foto Edmund Samunting

"Penduduk layak (menerima bantuan RM500) tidak kira mereka yang dipindahkan ke pusat pemindahan atau yang menumpang rumah saudara-mara atau yang tidak tinggalkan rumah kerana khuatir meninggalkan harta benda.

"Kerajaan pusat juga akan membayar RM5,000 bagi setiap kemalangan jiwa akibat banjir... Alhamdulillah, tidak ada laporan kemalangan jiwa mangsa banjir di Sabah," katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata kerajaan pusat menerusi Kementarian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Jabatan Kerja Raya akan mentafsir kerosakan rumah yang perlu dibaik pulih sama ada dengan melantik kontraktor atau menerusi gotong-royong.

Rumah yang mengalami sebahagian kerosakan akan dibaik pulih dengan kos antara RM5,000 dan RM10,000 sebuah, manakala rumah yang rosak sepenuhnya akan dibina semula.

Beliau juga berkata kerajaan akan memberi bantuan kepada petani yang rosak tanaman dan kehilangan haiwan ternakan akibat banjir, manakala pelbagai agensi pinjaman kewangan bersedia membantu perniagaan kecil terjejas banjir dengan tawaran pinjaman tanpa faedah.

Terdahulu, Muhyiddin melawat pusat pemindahan banjir di Sekolah Menengah St Patrick, Membakut dan mendengar taklimat situasi banjir oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman dan Pegawai Daerah Beaufort, Mohd Shahid Othman.

Turut hadir Musa, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Rahman Dahlan dan Setiausaha MKN Negeri, Rodzi Md Saat.

Daerah Beaufort, Membakut, Tenom, Sipitang dan Papar terjejas akibat banjir sejak Selasa lalu.

- BERNAMA

Berita Harian X