Khamis, 15 Januari 2015 | 12:52pm

12 premis makanan di Tawau ada sarang tikus diarah tutup

Pegawai Pejabat Kesihatan memeriksa sebahagian gerai makanan dalam Ops Basmi di sekitar Tawau. - Foto Abdul Rahemang Taiming
Pegawai Pejabat Kesihatan memeriksa sebahagian gerai makanan dalam Ops Basmi di sekitar Tawau. - Foto Abdul Rahemang Taiming

TAWAU: Dua belas premis makanan diarah tutup sementara selepas anggota penguatkuasa Jabatan Kesihatan Daerah Tawau menemui sarang tikus di dalam premis berkenaan dalam operasi kebersihan premis makanan di sini, malam tadi.

Ketua operasi, Rahman Sampe, berkata pengusaha makanan terbabit diberi tempoh 14 hari untuk membersihkan sarang tikus yang terdapat di dalam premis masing-masing.

"Kami juga akan mengadakan pemeriksaan sekali lagi di premis itu selepas tempoh itu untuk menentukan sama ada mereka boleh meneruskan operasi atau sebaliknya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, selain itu pihaknya turut mengeluarkan lima kompaun dan empat amaran kepada pemilik premis makanan semasa operasi berkenaan.

Rahman berkata, dalam operasi membabitkan 30 pegawai dan anggota, sebanyak 26 premis makanan diperiksa di kawasan sekitar bandar Tawau.

Beliau berkata, operasi pemeriksaan tahap kebersihan premis makanan di daerah ini akan terus dilaksanakan bagi memastikan kebersihan premis makanan sentiasa berada di tahap yang memuaskan.

- BERNAMA

Berita Harian X