Khamis, 8 Januari 2015 | 9:09pm

Tiga lokasi di Sepang dinaiki air

KUALA LUMPUR : Tiga lokasi di daerah Sepang iaitu Kampung Chichang, Jalan Sepang-Salak Tinggi dan Taman Desa Indah dinaiki air berikutan hujan lebat lebih satu jam, menyebabkan 60 penduduk terpaksa dipindahkan.

Mangsa yang dipindahkan adalah dari Taman Desa Indah membabitkan 18 rumah kerana air naik sehingga 1.2 meter.

Jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 4.18 petang tadi berhubung kejadian banjir berkenaan, sebelum jentera dengan kekuatan 19 anggota serta pegawai ke tempat kejadian.

"Lokasi pertama adalah di Kampung Chincang dengan air naik sehingga 1.2 meter yang membabitkan 20 rumah, bagaimanapun pemindahan mangsa belum dilakukan ketika ini.

"Namun, kami terpaksa memindahkan 60 mangsa membabitkan 18 rumah dari Taman Desa Indah akibat kejadian itu," katanya.

Manakala, di Jalan Sepang-Salak Tinggi berhampiran pula, air naik setinggi 0.6 meter dan hanya menghalang laluan jalan raya.

Berita Harian X