GEORGETOWN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberi jaminan bekalan barang keperluan harian termasuk bahan mentah mencukupi di negeri-negeri yang dilanda banjir.
Timbalan Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Azmi Lateh, berkata pihak kementerian sudah mengambil langkah persediaan awal sebelum banjir lagi. Katanya, setakat ini tiada laporan mengenai kekurangan makanan dan pihak kementerian sentiasa memantau keadaan khusus di negeri dilanda banjir iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.
"Melalui kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, kita akan membawa masuk makanan seperti sayuran sekiranya terdapat kekurangan bahan makanan itu.
"Kami telah merangka pelbagai strategi bagi menghadapi kekurangan makanan ketika musim banjir dan Alhamdulillah setakat ini tiada sebarang masalahkekurangan makanan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas 2014 di sebuah pasar raya di Jalan Kelawai di sini, hari ini. -
Azmi berkata, melalui Skim Kawalan Harga, sebanyak 12 jenis barang dikenal pasti dan peniaga diwajibkan menjual barang berkenaan mengikut harga terkawal yang ditetapkan.
Katanya, 12 barang itu ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, daging kambing tempatan bertulang, daging kambing biri-biri import bertulang dan tanpa tulang dengan harga maksimum di Semenanjung sahaja, daging paha kambing biri-biri import bertulang, telur ayam gred A, gred B, gred C, tomato dan lada benggala hijau. Sementara itu, Azmi berkata ayam Belanda tidak termasuk dalam senarai harga terkawal kali ini disebabkan beberapa masalah teknikal, dan pihaknya sedang berbincang dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengenainya.
Katanya, syarikat yang menguruskan import ayam belanda dari Australia menghadapi masalah teknikal dan pihak kementerian telah mengeluarkan ayam belanda ini daripada skim kawalan harga tahun ini.
"Namun begitu, bekalan ayam belanda ini masih terdapat di pasaran khususnya untuk perayaan Krismas," katanya.
Sementara itu, mengenai harga minyak dunia yang menurun, Azmi berkatakerajaan dijangka mengumumkan harga baharu bagi Ron 95, Ron97 dan diesel pada awal Januari ini.
- BERNAMA