Selasa, 2 Disember 2014 | 2:59pm

13 kenderaan terbabit nahas di KM23 Jalan Seremban-Kuala Pilah

KUALA PILAH: Sebanyak 13 kenderaan terbabit dalam kemalangan di Kilometer 23 Jalan Seremban-Kuala Pilah di sini, pagi tadi.

Kemalangan kira-kira jam 11 pagi itu, dipercayai berlaku apabila sebuah lori tangki membawa muatan minyak sawit dari arah pekan ini ke Seremban, melanggar belakang kereta Perodua Myvi di laluan yang sama.

Jurucakap polis berkata, lori itu kemudian terbabas memasuki laluan bertentangan serta melanggar sebuah lori tan dan apabila masuk semula ke laluan asal, melanggar sebuah treler tanpa muatan.

Katanya, treler itu pula melanggar sebuah lori tangki di hadapan menyebabkan muatan minyak sawit yang dibawa bocor dan melimpah di atas jalan raya.

"Kereta Myvi pula melanggar kenderaan lain di depan yang juga menuju ke arah yang sama, iaitu tujuh kereta dan sebuah bas ekspres," katanya.

Kemalangan itu menyebabkan tiga orang yang menaiki Honda Civic cedera dan dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah di sini untuk rawatan lanjut.

Berita Harian X