Rabu, 19 November 2014 | 5:33pm

Kes denggi meningkat lebih 100 peratus di Melaka

RAHAMAN (tiga dari kanan) melihat takungan air yang dibiarkan penduduk ketika meninjau kawasan panas wabak denggi di Kampung Paya Ikan di sini, hari ini. - Foto Norizzah Baharudin
RAHAMAN (tiga dari kanan) melihat takungan air yang dibiarkan penduduk ketika meninjau kawasan panas wabak denggi di Kampung Paya Ikan di sini, hari ini. - Foto Norizzah Baharudin

MELAKA: Melaka mencatatkan peningkatan kes demam denggi sebanyak 113.42 peratus bagi tempoh Januari hingga 17 November tahun ini, kata Ahli EXCO Kesihatan dan Pembangunan Sukan Melaka, Datuk Rahaman Ab Karim.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu, sebanyak 2,418 kes demam denggi dilaporkan berbanding 1,133 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

"Dalam tempoh itu juga sebanyak enam kematian dicatatkan iaitu empat di daerah Melaka Tengah dan dua daerah Alor Gajah," katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan panas wabak denggi di Kampung Paya Ikan di sini, hari ini.

RAHAMAN (kanan) melihat jentik-jentik yang ditemui pegawai Pejabat Kesihatan Negeri ketika meninjau kawasan panas wabak denggi di Kampung Paya Ikan di sini, hari ini. - Foto Norizzah Baharudin
RAHAMAN (kanan) melihat jentik-jentik yang ditemui pegawai Pejabat Kesihatan Negeri ketika meninjau kawasan panas wabak denggi di Kampung Paya Ikan di sini, hari ini. - Foto Norizzah Baharudin

Rahaman juga berkata, sebanyak 365 kompaun telah dikeluarkan Jabatan Kesihatan dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, iaitu di Melaka Tengah sebanyak 165; Alor Gajah (149) dan Jasin (51) kerana membiarkan premis menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

"Dalam tempoh sama, sebanyak 121,383 premis telah diperiksa dan sebanyak 2,951 premis didapati positif tempat pembiakan nyamuk aedes," katanya.

Beliau meminta masyarakat supaya mengambil berat dan sentiasa memantau kes denggi yang berlaku di taman atau di kampung masing-masing selain memastikan kawasan kediaman dan persekitaran sentiasa bersih. - BERNAMA

Berita Harian X