KOTA KINABALU: Sabah tidak menerima kesan susulan dua gempa bumi melanda perairan Kota Ternate, di Kepulauan Maluku Utara, selepas gempa kuat yang mencetuskan amaran tsunami, pagi tadi.
Pengarah Jabatan Meteorologi Sabah, Abdul Malek Tusin, berkata ini kerana pusat gempa itu terletak jauh iaitu kira-kira 983 kilometer (km) di tenggara Semporna.
Beliau berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia turut mengesahkan tiada ancaman tsunami di negara ini.
"Sabah tidak menerima kesan daripada kejadian gempa berkenaan dan tiada gegaran dirasai. Amaran tsunami itu juga hanya dikeluarkan untuk kawasan berdekatan pusat gempa sahaja," katanya ketika dihubungi BH di sini, sebentar tadi.
Menurut Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS), gempa susulan pertama pada jam 11.23 waktu tempatan itu berukuran 4.9 magnitud dan berpusat di 148 km di barat daya Kota Ternate.
Ia disusuli gempa kedua berukuran 5.0 magnitud pada jam 12.06 tengah hari yang berpusat di 140 km di barat daya Kota Ternate.